KKM tunggu ujian Covid-19 libatkan pelajar di Lembah Pantai

Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seorang pelajar di sekolah Lembah Pantai yang dikatakan positif koronavirus (Covid-19) seperti tular di aplikasi WhatsApp sedang menunggu pengesahan ujian makmal.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pengesahan ujian makmal diperlukan bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan pelajar Tingkatan Lima itu disahkan dijangkiti demam denggi.

"Sementara menunggu pengesahan itu, KKM telah memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif sebagai tindakan proaktif yang biasa dijalankan di lapangan bagi mencegah risiko penularan jangkitan," katanya.

Menurutnya, setakat ini, seramai 34 orang pelajar dan lapan guru dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada pelajar tersebut.

"Daripada jumlah tersebut seramai 28 orang telah disaring dan 14 orang lagi telah diberi arahan untuk hadir ke Klinik Kesihatan untuk persampelan," katanya.

Beliau berkata, semua individu yang telah disaring diberi arahan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan.

"Selain itu, proses nyahcemar dan nyahkuman telah dijalankan di lokasi yang telah dikenalpasti.

"Pemantauan ke atas kes bergejala ini dan semua kontak rapat beliau akan terus dipantau oleh pihak KKM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Dr Noor Hisham berkata, KKM menerima laporan dari sekolah terbabit mengenai satu kes bergejala yang melibatkan seorang pelajar.

"Susulan itu, siasatan telah dijalankan mengikut protokol KKM di mana sebarang kes yang dilaporkan ke KKM akan disiasat

terlebih dahulu dan tindakan selanjutnya seperti pengesanan kes akan dijalankan jika perlu," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati seorang pelajar Tingkatan Lima dari sekolah tersebut telah mengalami gejala muntah dan cirit- birit pada 9 Ogos.

"Pada 10 Ogos dia telah dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan dan seterusnya dipindahkan ke pusat perubatan bagi rawatan lanjut.

"Saringan untuk demam denggi dan juga jangkitan Covid-19 dijalankan dan disahkan mendapat jangkitan demam denggi," katanya.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan sebarang kes Covid-19 hanya akan dilaporkan sebagai kes positif selepas ianya diumumkan secara rasmi oleh KKM.

"Laporan daripada mana-mana sumber lain akan dianggap sebagai spekulasi sehingga siasatan dijalankan dan disahkan oleh KKM.

"Masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut," katanya.