Pulau Pinang tetap kuat kuasa undang-undang lompat parti

Kon Yeow menunjukkan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang mengandungi undang-undang lompat parti.
Kon Yeow menunjukkan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang mengandungi undang-undang lompat parti.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan pembentangan usul untuk mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini yang melompat parti mengosongkan kerusi mereka.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, usul itu akan dibawa dalam Dewan Undang Negeri (DUN) yang dijadualkan akan bersidang pada Oktober depan.

Menurutnya, perkara itu dicapai selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mendapat pandangan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk pengisytiharan pengosongan kerusi ahli-ahli DUN sekiranya ia diluluskan kelak.

"Walaupun Perkara 14A (1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dengan jelas memperuntukkan keadaan-keadaan yang mana seorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya namun pembentangan usul ini adalah atas inisiatif kerajaan negeri berlandaskan prinsip demokrasi.

"Malah usul ini boleh dibahas oleh semua ahli-ahli DUN sebelum keputusan dicapai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini ketika penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Diraja di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan penggubalan undang-undang untuk menghalang pertukaran parti politik bergantung kepada ahli-ahli DUN berkenaan.

Takiyuddin berkata, kerajaan Pulau Pinang harus memecat empat ADUN mengikut undang-undang Anti Lompat Parti negeri itu jika mahu undang-undang tersebut dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

Sebelum ini, Dua ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim menarik semula sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan dan bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tidak lama kemudian Afif mengumumkan menyertai Bersatu bagaimanapun setakat ini Zulkifli masih lagi bergelar ADUN Bebas kerana belum menyatakan hala tuju parti yang akan disertainya selepas ini.

Mengikut Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang iaitu mana-mana ADUN yang berhenti menjadi ahli parti diwakili semasa pilihan raya perlu mengosongkan kerusinya.

Sementara itu mengulas mengenai perkara itu, Kon Yeow berkata, sekiranya usul yang dibawa diluluskan mengikut Perkara 14A (4) Perlembagaan Negeri Yang Dipertua Dewan hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan kekosongan tersebut untuk membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan terlibat dijalankan.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak lupa dengan keputusan Mahkamah Agung pada tahun 1992 dalam kes Nordin Salleh terhadap DUN Kelantan.

Katanya, sudah tiba masa untuk kita mengkaji semula keputusan tersebut demi kebaikan bersama dan masa depan rakyat Malaysia.

"Sekiranya beliau (Takiyuddin) mahu melihat ketegasan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita akan mengorak langkah demi menghentikan gejala pertukaran parti ahli politik yang semakin berleluasa.

"Ini adalah satu cabaran dan kami akan tempuhi," katanya.