Ibu tunggal OKU ambil dadah sejak usia 15 tahun

Ibu tunggal tersebut ditahan dan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut semalam.
Ibu tunggal tersebut ditahan dan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut semalam.
A
A
A

YAN - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) antara tujuh individu yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan dalam satu operasi pencegahan dadah semalam.

Pegawai AADK Daerah Yan, Mohamad Rahim berkata, wanita yang kudung tangan kiri tersebut berusia 32 tahun merupakan ibu kepada enam cahaya mata.

Menurutnya, wanita tersebut mengakui mula berjinak dengan dadah sejak berumur 15 tahun dan kini merupakan ibu tunggal selepas kematian suami akibat jangkitan kuman di paru paru.

"Ibu tunggal ini bekerja sebagai pengutip dana tahfiz untuk pihak sebuah tahfiz di Kedah dan dia akan merantau ke Selangor dan Perak bagi tujuan mengutip dana.

"Kesemua suspek yang ditahan positif dadah jenis opiat dan methamphetamine dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi tersebut dijalankan bermula jam 10 malam dan berakhir jam 3 pagi melibatkan kawasan Kampung Permatang Keramat, Kampung Dulang Besar, Kampung Kuala Sungai Limau Dalam, Kampung Alor Pinggu, Kampung Simpang Tiga Sungai Limau Dalam, Simpang Tiga Sungai Daun, Taman Setia Jaya Dan Kampung Teluk Mat Acheh.

Mohamad berkata, semua yang ditahan akan disiasat di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Beliau berkata, penagihan dadah langsung tidak membawa kepada kebaikan dan tidak menyelesaikan masalah malah hanya membuatkan seseorang itu kecelaruan mental serta membawakan kepada perubahan sikap yang buruk.

Artikel Berkaitan:

"Menahan mereka juga bukan bermaksud menghukum namun ianya untuk membantu mereka untuk berfikir serta melakukan perubahan melalui program program pemulihan sama ada di pusat pemulihan mahupun dalam komuniti itu sendiri.

"Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan keluarga bebas dadah dan membantu mereka yang terlibat kembali ke pangkal jalan. Walaupun ianya sesuatu yang mencabar namun perlu ada usaha yang berterusan," katanya.