RM20,500 lesap diperdaya ‘polis’

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara kerugian RM20,500 selepas termasuk jerat sindiket penipuan didalangi individu menyamar polis.

Mangsa berusia 60 tahun dari Jerantut dihubungi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban Isnin lalu memaklumkan dia dikehendaki polis berkaitan kes langgar lari melibatkan seorang remaja di Seremban.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek menakutkan mangsa kononnya dia akan ditahan reman untuk siasatan selepas mendapati kereta jenis Honda yang terlibat melanggar remaja berusia 14 tahun itu disewa atas namanya.

Menurutnya, suspek juga cuba memerangkap mangsa dengan mendakwa kes dihadapi berat kerana polis juga turut menemui sejumlah dadah dalam kenderaan tersebut.

“Mangsa yang ketika itu berada di Kuala Tahan dirujuk kepada seorang pegawai berpangkat inspektor melalui sambungan panggilan untuk diambil keterangan dan dia juga menerima gambar beberapa individu yang dikatakan ahli kumpulannya.

“Seterusnya panggilan disambung kepada seorang lagi pegawai dan mangsa diminta membayar wang jaminan RM20,500 atau akan ditahan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, bagi mengelak ditahan, mangsa akur dengan arahan tersebut lalu menyerahkan kata laluan dan nama pengguna akaun perbankan internetnya untuk tujuan pembayaran wang jaminan.

“Mangsa turut menyerahkan dua nombor TAC kepada pegawai terlibat dengan jumlah transaksi RM14,400.

Artikel Berkaitan:

“Seterusnya dia memasukkan RM6,100 ke akaun sebuah bank seperti diminta,”katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihubungi pihak bank untuk pengesahan transaksi tersebut dan dinasihatkan membuat laporan polis kerana disyaki telah ditipu.

“Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.