Azhar Azizan nafi berat sebelah

Azhar Azizan
Azhar Azizan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan beliau bersikap berat sebelah dengan memihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu mengendalikan persidangan Dewan Rakyat pada 6 Ogos lalu.

Susulan kejadian Azhar Azizan dilihat seperti cuba membantu Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjawab soalan mengenai penyelesaian kerajaan dengan syarikat Goldman Sachs, beliau sebaliknya mendakwa tidak menjawab soalan bagi pihak menteri.

Sebaliknya, Azhar Azizan yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menjelaskan beliau mahu menjaga masa.

"Saya hanya menjaga masa. Itu sahaja penjelasannya," katanya.

Dalam perbahasan pada 6 Ogos, Azhar mencelah soalan daripada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu adakah Kabinet menyetujui penyelesaian AS$3.9 bilion (RM16.37 bilion) itu dikemukakan syarikat Goldman Sachs berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sewaktu menjawab soalan pencelahan Guan Eng, Zafrul menjelaskan sejumlah AS$2.5 bilion (RM10.49 bilion) adalah bayaran tunai manakala baki AS$1.4 bilion (RM5.88 bilion) adalah jaminan bank.

Guan Eng kemudiannya meminta penjelasan sama ada Kabinet kerajaan membincangkan dan menyetujui jumlah dikemukakan.

Bagaimanapun, Azhar Azizan kemudiannya mencelah dengan menjelaskan ianya merupakan keputusan Kementerian Kewangan dan semestinya akan dibawa ke Kabinet sebelum Zafrul sempat menjawab.

Artikel Berkaitan:

Berikutan dakwaan dikemukakan, Azhar Azizan menegaskan beliau enggan mempolemikkan tindakannya.

"Saya tak boleh dan tidak mahu buat begitu (berat sebelah).

“Saya akan dikritik. Jadi apa yang saya boleh buat? Itu kerja saya," katanya.