KFA sambut baik hasrat Aliff Syukri

Aliff Syukri
Aliff Syukri
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) menyambut baik hasrat usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman untuk membeli pasukan Helang Merah itu.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sememangnya mengalu-alukan mana-mana hartawan dan usahawan berminat dengan pasukan itu untuk berunding dengan KFA.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan cadangan mana-mana pihaknya yang ingin mendapatkan pasukan tersebut.

"Kita alu-alukan mana-mana hartawan, usahawan dan sebagainya untuk berunding dengan KFA sama ada berminat untuk membeli ataupun menaja pasukan Kedah, kita akan pertimbangkan.

"Jikalau beliau berminat, boleh datang bertemu dengan saya untuk berunding," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat pengasas syarikat terkenal negara, D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, Aliff Syukri yang bersedia untuk membeli pasukan Kedah itu.

Menurutnya, setakat ini pihaknya ada berunding dengan beberapa pihak termasuklah sebuah koperasi yang mengemukakan tawaran dilihat baik untuk mengendalikan pasukan secara bersama.

"Difahamkan, kemungkinan peminat pasukan bola sepak Kedah akan didaftarkan sebagai ahli koperasi tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya menyambut baik hasrat mana-mana pihak dan akan mempertimbangkan cadangan terbaik untuk pasukan Kedah.

"Lagipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ada menasihatkan supaya tidak menerima tawaran yang merugikan, yang mana kita akan patuh dengan pandangan diberikan itu," katanya.

Hari ini, Aliff Syukri menerusi laporan sebuah media meluahkan hasratnya yang masih berminat untuk bersama pasukan Kedah sebagai pemilik penuh pasukan Kedah dan bersedia membeli skuad Lang Merah.

Pada 2016, usahawan kosmetik terkenal itu pernah berhasrat untuk menaja pasukan Kedah bagaimanapun rundingannya dengan KFA menemui kegagalan.