'Arwah sekeluarga disenangi, suka beri bantuan'

Tujuh beranak akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah.
Tujuh beranak akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah.
A
A
A

KULIM - Jenazah tujuh sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Keramat Pulai berhampiran Simpang Lubuk Timah semalam akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Kampung Badlishah, Mukim Terap, Serdang, Kedah.

Bilal Masjid Al-Abror, Azmi Zakaria, 55, berkata, beliau menerima panggilan daripada waris mangsa pada tengah malam tadi memaklumkan kejadian dan diminta membuat persediaan menguruskan pengebumian.

Menurutnya, kerja-kerja mengorek liang lahad dimulakan sekitar jam 9 pagi dengan bantuan ahli Khairat Kematian Masjid Al-Abror.

"Urusan mandi, kapan dan solat jenazah akan dilaksanakan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

"Namun sekiranya kesemua jenazah sampai awal dan ada permintaan keluarga untuk sembahyang jenazah, kita akan dilaksanakan di masjid buat kali kedua bagaimanapun jika sampai lewat (tengah malam) jenazah akan terus dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan dalam satu liang lahad," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah sebentar tadi.

Rakan sekampung Allahyarham Mohd Zairul Mat Isa, 34; Muhammad Nazif Derani, 41, berkata, Allahyarham adalah anak kepada bekas imam masjid yang telah meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu.

"Arwah dan keluarga sangat disenangi oleh penduduk memandangkan sikapnya yang mudah untuk menghulurkan bantuan.

"Kali terakhir kami berjumpa ialah pada minggu lepas ketika saya ke kedai makan char kuey teow yang diusahakan arwah. Ketika itu arwah sibuk melayan pelanggannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azmi
Azmi

Menurutnya, perkhabaran duka tentang kematian tujuh beranak itu mengejutkan penduduk kampung dan tidak menyangka Allahyarham bersama isteri, ibu dan anak serta sepupu mereka terlibat dalam kemalangan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 petang semalam, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dipandu Mohd Zairul hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah hadapan.

Mereka yang maut adalah Mohd Zairul; isterinya, Nuratiqah Abd Hamid, 30 dan anak bongsu, Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4.

Turut terkorban ibu Mohd Zairul, Fatimah Mat Isa, 68, dan sepupu, Zulkifli Shuib, 49, isterinya, Hasliza Mahmud, 40 serta anak mereka, Mohd Alif Firdaus, 3.

Anak Mohd Zairul, Muhammad Haziq, 9, dilaporkan dirawat di zon kuning HRPB manakala anak Hasliza, Firash Mikhael Azrie Syah, 11, dan seorang lagi dikenali sebagai Apit, 16, dilaporkan sedang dirawat di zon merah.