Zaidi atau Fuad pilihan BN

Mohd Zaidi Aziz, Mahhadee Ramlee, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi
Mohd Zaidi Aziz, Mahhadee Ramlee, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi
A
A
A

IPOH - Teka-teki calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan terjawab petang ini apabila dijadual diumumkan sendiri Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Daripada lapan nama yang dicalonkan ke peringkat pusat, hanya satu nama yang akan terpilih mewakili parti itu pada PRK DUN Slim menggantikan Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Dua nama kuat yang disebut-sebut akan dipilih sebagai calon ialah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz dan Bendahari UMNO Bahagian Tanjung Malim, Ahmad Fuad Abdul Halim.

Dari latar belakang, Mohd Zaidi dilihat mewakili orang muda berdasarkan umurnya 43 tahun selain berpengalaman luas bersama pertubuhan belia kerana pernah menjadi Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia pada tahun 2014 hingga 2018 dan kini Setiausaha Agung Jawatankuasa Kerjasama Belia Asean (CAYC).

Beliau dilihat antara calon paling sesuai untuk dipilih BN mewakili parti itu memandangkan jumlah pengundi muda di kawasan DUN tersebut melebihi 40 peratus.

Bagaimanapun, jika dilihat dari segi pengalaman pula, Ahmad Fuad yang berusia 61 tahun mempunyai kelebihan apabila menjadi ahli UMNO Cawangan Slim River sejak tahun 1990 lagi.

Antara jawatan politik yang pernah dipegangnya termasuklah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Slim River, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Malim, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tanjung Malim dan sebagainya.

Beliau juga wakil calon DUN Slim selama empat penggal sepanjang Mohd Khusairi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Artikel Berkaitan:

BN dilihat cenderung memilih calon tempatan berbanding calon luar yang disukai ramai bukan sahaja ahli parti tetapi penduduk di DUN berkenaan.

Mereka juga perlu memikirkan kehendak pengundi luar yang kebanyakannya bekerja di Selangor dan Kuala Lumpur kerana mereka mampu mempengaruhi undi di kerusi tersebut.

Bagi parti baharu yang diterajui Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mereka juga tidak ketinggalan untuk mencuba nasib bertanding pada PRK DUN Slim kali ini.

Pertandingan tersebut dilihat untuk menguji sejauh mana sokongan rakyat terhadap parti yang masih belum diberikan nama itu dan kebanyakan ahlinya adalah bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dari segi calon, difahamkan mereka akan menamakan seorang anak muda mempunyai latar belakang profesional yang akan bertanding atas tiket bebas mewakili parti tersebut.

Antara nama yang disebut adalah seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang juga bekas calon Ketua Bersatu Bahagian Teluk Intan.

Bagaimanapun, terdapat juga nama ahli Bersatu yang turut disebut-sebut sebagai calon iaitu Mahhadee Ramlee.

Mahhadee Ramlee sebelum ini ialah Pengerusi Tetap Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), sebuah organisasi yang diterajui Datuk Ibrahim Ali.

Beliau ialah aktivis masyarakat yang begitu dikenali di kawasan Felda Gunung Besout, namun pencalonannya oleh parti baharu itu masih lagi menjadi tanda tanya.

Apa yang pasti PRK DUN Slim akan berlaku pertandingan biarpun pada awalnya ramai menjangkakan BN akan diberikan kemenangan mudah selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan untuk meletakkan calon.

Keputusan rasmi mengenai pencalonan bagi PRK DUN Slim hanya akan diketahui pada Sabtu ini di Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim.