X

Kindly register in order to view this article
!

WHO bincang dengan Rusia mengenai vaksin Covid-19

WHO sedang dalam perbincangan dengan Rusia mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin Covid-19 pertama di dunia. Foto: 123RF
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang dalam perbincangan dengan Rusia mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin Covid-19 pertama di dunia, lapor agensi berita Xinhua, menurut jurucakap WHO pada Selasa.

"Kami kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa kesihatan Rusia dan perbincangan masih berjalan mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin berkenaan oleh WHO,” kata jurucakap WHO Tarik Jasarevic dalam taklimat media secara maya.

"Pra kelayakan daripada mana-mana vaksin melibatkan tinjauan dan penilaian yang ketat terhadap semua data yang diperlukan untuk keselamatan dan keberkesanan dalam ujian klinikal," kata Jasarevic, sambil menambah di peringkat WHO, proses ini adalah serupa bagi setiap calon vaksin.

Katanya, setiap negara mempunyai badan pengawasan nasional yang meluluskan penggunaan vaksin atau ubat-ubatan di wilayahnya.

"Pengilang memohon pra kelayakan WHO kerana ia membuktikan piawaian kualiti." katanya.

Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Selasa berkata, negaranya telah mendaftarkan vaksin melawan Covid-19 pertama di dunia.

Putin berkata, beliau berharap pengeluaran massa vaksin yang telah didaftarkan di Rusia akan bermula dalam waktu terdekat dan pemvaksinan tersedia untuk orang ramai di negara ini secara sukarela.

Timbalan Perdana Menteri Rusia, Tatyana Golikova berkata, beliau berharap pengeluaran vaksin itu akan dimulakan pada akhir Ogos atau awal September dan pekerja kesihatan akan menjadi yang pertama diberi vaksin.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!