Hutang, liabiliti kerajaan RM1.264 trilion pada akhir 2020

Anggaran tersebut mengambil kira defisit keseluruhan bagi tahun ini termasuk pembiayaan pakej-pakej rangsangan serta pemulihan ekonomi.
Anggaran tersebut mengambil kira defisit keseluruhan bagi tahun ini termasuk pembiayaan pakej-pakej rangsangan serta pemulihan ekonomi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedudukan hutang dan pendedahan liabiliti kerajaan dianggarkan mencecah RM1.264 trilion pada akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata, anggaran tersebut mengambil kira defisit keseluruhan bagi tahun ini termasuk pembiayaan pakej-pakej rangsangan serta pemulihan ekonomi.

“(Bagaimanapun) kedudukan ini akan disemak dan diperincikan ketika pembentangan Belanjawan 2021,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah hutang negara dan liabiliti terkini kerajaan serta jumlah anggaran hasil pendapatan negara pada 2020 dan langkah pemulihan ekonomi susulan impak Covid-19.

Menurut Abdul Rahim, berdasarkan Standard Government Finance Statistic 1986 yang digunapakai, hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM823.8 bilion manakala kedudukan hutang mengikut had statutori adalah pada 53.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Bagaimanapun, jelas beliau, kerajaan turut menanggung serta terdedah kepada tanggungan komitmen kewangan termasuk komitmen jaminan sebanyak RM166.9 bilion bagi melaksanakan projek-projek infrastruktur seperti pengangkutan awam rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Lebuh Raya Pan-Borneo di Sarawak.

Pada masa sama, kerajaan turut terdedah kepada hutang syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM32.6 bilion serta anggaran liabiliti kewangan lain sebanyak RM181.4 bilion yang merangkumi projek-projek kerjasama awam-swasta (PPP), Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFi) dan PBLT (Pembinaan BLT Sdn Bhd, unit milik Kementerian Kewangan Diperbadankan), kata beliau.

“Semasa pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan telah mengumumkan unjuran jumlah hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2020 iaitu sebanyak RM244.5 bilion dengan andaian harga minyak mentah dunia Brent pada paras AS$62 setong.

Artikel Berkaitan:

“Namun, krisis pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan harga komoditi telah memberi impak yang besar kepada kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan. Berdasarkan situasi semasa, anggaran hasil dijangkakan mengalami pengurangan berikutan unjuran KDNK yang lebih rendah dan paras harga terkini minyak mentah dunia yang masih rendah iaitu sekitar AS$41 setong,” katanya.

Berikutan kesan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas ekonomi, Abdul Rahim berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif melaksanakan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi serta inisiatif percukaian termasuk pengecualian cukai dan penangguhan bayaran cukai perniagaan dalam sektor pelancongan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan bagi 2020 dijangkakan mencatat defisit fiskal 5.8 peratus hingga 6.0 peratus berbanding anggaran asal 3.2 peratus daripada KDNK.

“Perincian anggaran hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2020 yang disemak semula akan dibentangkan berserta anggaran kedudukan kewangan tahun 2021 dalam Belanjawan 2021 yang dijadualkan pada 6 November ini dengan mengambil kira kedudukan ekonomi semasa,” katanya.- Bernama