'Najib tak suruh pilih atau buang salah satu laporan audit 1MDB'

Najib (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Najib (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memintanya untuk memilih antara dua penyata kewangan untuk dimasukkan ke dalam laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi keenam pendakwaan bagi kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB itu berkata demikian, selepas peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan isu perjumpaan di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 22 Februari 2016 lalu.

Ambrin berkata, Najib sekadar menunjukkan rasa ambil berat apabila mendapati terdapat dua laporan berbeza bagi tahun yang sama.

Muhammad Shafee: Adakah Datuk Seri Najib beri arahan tepat supaya pilih laporan A atau laporan B pada Tan Sri?

Ambrin: Tidak.

Muhammad Shafee: Jadi, Datuk Seri Najib menunjukkan rasa ambil berat?

Ambrin: Ya, sebab saya yang beritahunya dahulu, selepas itu barulah beliau menunjukkan rasa ambil berat.

Muhammad Shafee: Ketika itu beliau adalah selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, mestilah ada rasa ambil beratkan?

Artikel Berkaitan:

Ambrin: Ya, mestilah.

Muhammad Shafee: Apabila timbul dua laporan berbeza, pasti timbul perasaan seperti itu, jika tidak beliau akan dikatakan cuaikan?

Ambrin: Ya.

Saksi berusia 71 tahun itu juga berkata, Najib tidak memintanya untuk membuang salah satu laporan berkenaan, sebaliknya mahu untuk meneliti perkara tersebut.

Bagaimanapun, menyentuh isu persidangan keluar (exit conference), Ambrin berkata, tidak bersetuju apabila mesyuarat yang diadakan di pejabat Ketua Setiausaha, Tan Sri Ali Hamsa sebagai persidangan keluar.

Untuk rekod, persidangan keluar bermaksud pertemuan antara juruaudit dengan pelanggan bagi membincangkan penemuan audit dan cadangan dalam laporan.

Ambrin berkata, pertemuan antara juruaudit dengan bekas CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy merupakan perbincangan biasa.

Ini kerana katanya, persidangan tanpa dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara tidak boleh dikira sebagai persidangan keluar.

Pada 12 Disember 2018, Datuk Seri Najib Razak didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Beliau didakwa dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri ketika itu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan tersebut dituduh melakukan kesalahan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB, di tempat dan masa yang sama dan mengikut Seksyen 28 (1) (c ) Akta SPRM 2009 dibaca dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta yang sama yang memberikan hukuman yang sama, jika didapati bersalah.

Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dalam kes ini, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, mengetuai pasukan pendakwaan sementara peguam, Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib manakala N Sivananthan bagi pihak Arul Kanda.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan disambung esok.