SPR perlukan RM1.2 bilion jika PRU mengejut

Sebanyak RM1.2 bilion diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika pilihan raya umum mengejut diadakan dalam tempoh penularan Covid-19 sekarang. Gambar hiasan
Sebanyak RM1.2 bilion diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika pilihan raya umum mengejut diadakan dalam tempoh penularan Covid-19 sekarang. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu sebanyak RM1.2 bilion diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika pilihan raya umum mengejut diadakan dalam tempoh penularan Covid-19 sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jumlah itu adalah anggaran untuk melaksanakan proses pilihan raya dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

"SPR memaklumkan sekiranya kerajaan adakan pilihan raya snap (mengejut) untuk seluruh negara pada masa ini, pasca-Covid-19, dianggarkan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion diperlukan," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di sini.

Beliau turut memberitahu Dewan Rakyat, daripada RM15 juta yang diterima SPR bagi 2019, sebanyak RM12,946,353.50 dibelanjakan untuk pelaksanaan lima pilihan raya kecil (PRK) iaitu PRK Parlimen Cameron Highlands, Parlimen Sandakan dan Parlimen Tanjung Piai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Rantau.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, kerajaan berhasrat mewujudkan dasar baharu berhubung penggunaan perkhidmatan Jabatan Peguam Negara bagi mewakili SPR dalam kes petisyen pilihan raya.

Beliau berkata, ini kerana daripada jumlah RM15 juta itu, sebanyak RM400,000 digunakan SPR bagi membiayai khidmat peguam swasta dalam hal berkaitan petisyen pilihan raya.

"Jabatan Peguam Negara dalam pentadbiran kerajaan terdahulu (Pakatan Harapan) telah memutuskan SPR tidak boleh menggunakan perkhidmatan Jabatan Peguam Negara kes petisyen pilihan raya dan perlu lantik peguam swasta.

"Kerajaan sekarang ini (Perikatan Nasional) berpandangan Jabatan Peguam Negara mempunyai kepakaran dalam menguruskan kes petisyen pilihan raya," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: