Tanah rizab Melayu digunakan untuk kemudahan awam tak perlu diganti

Ali Biju
Ali Biju
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dasar berkaitan pembatalan kawasan tanah rizab Melayu yang digunakan untuk pembangunan kemudahan awam adalah tertakluk kepada dasar yang ditetapkan kerajaan negeri masing-masing.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Anak Biju berkata, terdapat kerajaan negeri yang berpandangan bahawa tanah bagi pembangunan kemudahan awam yang didaftarkan atas nama kerajaan Persekutuan tidak perlu diganti.

Itu kerana menurutnya, kerajaan Persekutuan sendiri telah ditakrifkan sebagai Melayu.

“Takrifan Melayu adalah berbeza mengikut enakmen rizab Melayu negeri masing-masing,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai penggantian tanah baharu di lokasi strategi membabitkan penggunaan tanah rizab Melayu.

Dalam soalan asal Ahmad Maslan berkaitan jumlah pemilikan tanah dan rizab Melayu mengikut kaum di setiap negeri, Ali berkata, maklumat tersebut disimpan kerajaan negeri masing-masing.

Menurutnya, sebagai maklumat tambahan dalam ruangan pemilikan tanah hanya didaftarkan nama individu dan nombor kad pengenalan.

“Tiada rekod pendaftaran kaum etnik atau pun agama dalam dokumen hak milik tanah selaras dengan prinsip setiap individu yang tidak tertakluk dengan had umur, kewarasan seseorang dan tidak diisytiharkan bankrap boleh memiliki tanah tanpa prejudis agama atau pun bangsa.

Artikel Berkaitan:

“Urusan pemilikan tanah dan urusan perizaban Melayu terletak di bawah bidang kuasa negeri seperti mana yang disenaraikan dalam Butiran 2B Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan pembahagian bidang kuasa perundangan yang ditetapkan dalam Perkara 74.

“Peranan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JPKTG) Kementerian Tanah dan Sumber Asli sebagaimana termaktub dalam Seksyen 8 Kanun Tanah Negara ialah memberi nasihat dan menyelaraskan isu-isu berhubung dengan tanah,” ujarnya.