MBSA keluar 101 notis ke atas premis di Sungai Buloh

Mohd Rashidi (dua dari kanan) turut hadir dalam operasi bersepadu di Bandar Baru Sungai Buloh hari ini.
Mohd Rashidi (dua dari kanan) turut hadir dalam operasi bersepadu di Bandar Baru Sungai Buloh hari ini.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan 101 notis ke atas premis di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh yang membina struktur tambahan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan berkata, notis itu dikeluarkan semalam mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

"Kita mendapati premis seperti kilang, restoran serta rumah kedai yang telah membina pelindung matahari, dinding, binaan lantai dan struktur tambahan lain tanpa kebenaran MBSA," katanya pada sidang akhbar dalam operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa kerajaan di sini hari ini.

Operasi bersepadu itu melibatkan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Air Selangor.

Mohd Rashidi berkata, operasi itu juga membabitkan gerai tanpa kebenaran yang beroperasi di bahu jalan.

"Gerai ini telah mengakibatkan masalah kesesakan lalu lintas dan juga keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 25 premis peniagaan tanpa lesen yang diusahakan oleh warga tempatan telah diambil tindakan sejak awal tahun ini.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 19 premis perniagaan tanpa lesen yang dikendalikan oleh warga asing di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh telah disita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan, MBSA pernah menawarkan tapak penjaja sementara di Jalan 1A/3, di sini kepada individu yang menularkan video berkaitan isu di Sungai Buloh.

"Namun beliau telah menolak pelawaan yang diberikan oleh pihak MBSA dan meneruskan perniagaan di bahu jalan yang telah menimbulkan isu keselamatan dan lalu lintas sehingga tindakan diambil ke atas gerai itu," katanya.