X

Kindly register in order to view this article
!

Kes judi: Rombakan IPD Sungai Buloh diputuskan selepas siasatan

ABDUL HAMID
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang tindakan termasuk rombakan dalaman melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hanya akan diputuskan selepas siasatan berhubung kes perjudian di daerah itu selesai, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berlaku adil dan menyiasat terlebih dahulu dakwaan salah laku pegawai dan anggota IPD Sungai Buloh berhubung isu perjudian itu.

“Siasatan telah dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sejak awal lagi iaitu sebelum perkara ini tular dan setakat ini tiada anggota polis yang ditahan.

”Setelah siasatan selesai baru pihak polis akan putuskan apa tindakan yang akan dibuat, beri sedikit masa dan saya beri jaminan tidak akan melengah-lengahkan kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan di Bukit Aman di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak berniat cetus kontroversi, Asri Janggut mohon maaf...

SPRM siasat dakwaan pihak berkuasa lindungi premis judi haram

Polis cari pemilik akaun Facebook Asri Janggut

Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan berlaku rombakan di IPD Sungai Buloh selepas terdapat dakwaan pegawai dan anggota melindungi premis perjudian.

Sementara itu, beliau berkata, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed telah diarah mendapatkan laporan kegiatan perjudian di seluruh negara.

“Pihak PDRM tidak akan berkompromi dengan aktiviti judi, bukan sahaja di Sungai Buloh tetapi di semua tempat seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid menasihati orang ramai agar menyalurkan maklumat jenayah terus ke Bukit Aman jika terdapat halangan tertentu di peringkat bawahan.

“Saya menggalakkan apa juga kaedah yang ingin digunakan untuk menyampaikan mesej kejadian jenayah,” katanya.

Berikutan itu, Abdul Hamid turut memberi amaran kepada pegawai dan anggotanya untuk tidak mendedahkan maklumat pemberi maklumat kepada awam jika mereka (orang awam) melaporkan sebarang kegiatan jenayah.

“Jika saya dapat tahu ada pegawai atau anggota polis yang mendedahkan identiti pemberi maklumat kes jenayah, saya akan ambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan terus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa tuduhan mengatakan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar tidak mengambil tindakan susulan terdapat kegiatan perjudian di daerah itu adalah tidak benar.

“Ketua Polis Daerah Sungai Buloh ada ambil tindakan dan tidak benar sama sekali dakwaan media sosial kata beliau menafikan wujud aktiviti judi di Sungai Buloh,” katanya.

Baru-baru ini, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menahan empat penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, dekat sini.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!