Tangkap semua yang terlibat pasang bendera terbalik: Ayob Khan

Ayob Khan menunjukkan gambar dua orang daripada empat suspek yang ditahan kerana terlibat memasang bendera Malaysia dan bendera Johor secara terbalik pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan menunjukkan gambar dua orang daripada empat suspek yang ditahan kerana terlibat memasang bendera Malaysia dan bendera Johor secara terbalik pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perbuatan memasang bendera Malaysia atau bendera Johor secara terbalik sama ada sengaja atau tidak bukan perkara remeh.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, tidak akan ada lagi tolak ansur atau amaran terakhir selepas ini terhadap mereka yang melakukan perbuatan tersebut.

"Ini bukan isu remeh. Kita rakyat Malaysia yang sudah merdeka selama 63 tahun tetapi masih pasang bendera Malaysia terbalik.

"Kita akan tangkap semua yang terlibat (mereka yang memasang bendera Malaysia terbalik), kita nak semua pihak bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat ditahan pasang bendera terbalik

Kelmarin Ayob Khan memberi amaran terakhir akan menangkap dan melakukan siasatan terhadap mana-mana pihak yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik susulan sebuah sekolah jenis kebangsaan di Kluang yang berbuat demikian pada 4 Ogos lalu.

Alasan diberikan sekolah itu ialah seorang kakitangannya tersilap memasang bendera dan 'tidak disedari' sebelum Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail turun menyiasat dan memberikan nasihat, namun tiada sebarang tindakan diambil.

Susulan kenyataan Ayob Khan itu terdapat pihak mengkritik amaran tersebut yang disifatkan sebagai isu remeh dan pihak polis tidak perlu mengambil tindakan terhadap perbuatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Semalam polis menahan empat pekerja termasuk seorang pengurus kilang berusia 56 tahun kerana memasang bendera Malaysia dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tebrau di sini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, isu itu adalah sensitif malah melibatkan kedaulatan sesebuah negara dan tidak harus dipandang ringan.

Sebagai contoh, beliau berkata, isu salah cetak bendera negara jiran semasa Sukan SEA KL2017, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada masa itu terpaksa memohon maaf kepada negara berkenaan atas kesalahan tersebut.

"Kesalahannya hanya tersalah susun warna sahaja, bayangkan (betapa serius dan sensitifnya isu berkenaan bendera)," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun jika sabit kesalahan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Begitu juga katanya, boleh disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh didenda RM1,000 jika sabit kesalahan.