14 peratus sektor pembinaan belum beroperasi susulan pandemik Covid-19

Fadillah (kanan) bersama Saravanan (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Dr Mohammed Azman Aziz (dua dari kiri) dan Ahmad ‘Asri (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur semalam.
Fadillah (kanan) bersama Saravanan (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Dr Mohammed Azman Aziz (dua dari kiri) dan Ahmad ‘Asri (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya 14 peratus sektor pembinaan belum beroperasi sepenuhnya berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beberapa faktor telah dikenal pasti, antaranya berdepan dengan masalah aliran wang tunai dan ada pemaju yang memaklumkan pelanggan mereka tidak mahu lagi meneruskan projek susulan tiada permintaan.

Menurutnya, kerajaan turut mengenal pasti terdapat sesetengah pihak berdepan masalah pekerja kerana sektor pembinaan masih bergantung kepada pekerja asing tetapi pintu masuk negara masih ditutup.

“Kebergantungan ke atas pekerja asing dapat diatasi tetapi mereka perlu mempunyai kemahiran lebih tinggi terhadap mekanisme dan automotism.

“Kerajaan juga memberi tumpuan melatih rakyat tempatan untuk bekerja dalam sektor tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Perkeso akan membiayai latihan reskilling dan upskilling yang dilaksanakan oleh CIDB menerusi Program Penjana Kerjaya.

Artikel Berkaitan:

Program tersebut bukan hanya terbuka kepada pencarum Perkeso yang kehilangan pekerjaan tetapi juga kepada semua termasuk lepasan ijazah, sekolah dan penganggur bermula 5 Jun lalu.

CIDB menerusi Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies akan menyediakan kemahiran dalam pelbagai bidang pembinaan seperti kerja binaan, operasi kren, mekanikal, elektrikal, kimpalan, operasi jentera berat dan sebagainya.

Selain itu, CIDB turut menawarkan latihan dalam bidang penyeliaan dan pengurusan, pemasangan komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta penggunaan Building Information Modelling (BIM).

Latihan yang dilaksanakan CIDB selaras dengan inisiatif kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kompetensi kemahiran serta kebolehpasaran belia dan pekerja binaan mahir tempatan.