Strategi pembangunan PDC tetap sama - Kon Yeow

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Tindakan Gerakan Pulau Pinang yang sering menyerang kerajaan negeri dengan isu penjualan tanah dilihat seolah-olah parti itu menentang pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, strategi pembangunan yang digunapakai Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada masa ini tetap sama sejak penubuhannya dahulu.

Beliau hairan dengan tindakan Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong yang sering mempersoalkan strategi perbadanan itu yang kini di bawah PH.

"Saya teruja dengan fakta oleh Tong Keong yang mempersoalkan strategi pembangunan PDC dalam menguruskan tanah di Pulau Pinang untuk menjadikannya sebuah negeri industri, komersial dan pembangunan perumahan.

"Mengapa mempersoalkan strategi ini sedangkan ia digunakan oleh pengasas PDC, Tun Dr Lim Chong Eu dan kemudiannya diikuti Tan Sri Koh Tsu Koon. Strategi sama telah digunakan untuk menukar Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang tidak maju kepada negeri perindustrian yang membangun.

"Fakta ini selalu dibanggakan Gerakan sehingga membolehkan parti itu menang beberapa kali dalam pilihanraya sebelum ini," katanya menerusi kenyataan medianya.

Beliau berkata, Tong Keong juga sering mempersoalkan usaha PDC untuk meningkatkan sosio-ekonomi di negeri ini.

"Tetapi hari ini, dari parti sama, Tong Keong mempersoal pula tindakan kerajaan negeri yang dipimpin PH dalam mengemudi PDC untuk meningkatkan sosio- ekonomi Pulau Pinang untuk menjadikannya sebagai Lembah Silikon di Timur selain negeri hijau pertama di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi PDC mudah, dari perancangan induk kepada perolehan tanah dan kemudiannya membangunkan infrastruktur yang mana, pelabur dijemput untuk melihat tanah bagi membangunkan pembangunan industri," katanya.

Kon Yeow berkata, PDC juga akan membangunkan simpanan tanah tersebut sebagai plot perusahaan kecil dan sederhana (SME), bangunan komersial, pelbagai kategori perumahan dan pembangunan perbandaran.

"Model ini dapat dilihat di pembangunan PDC dalam pembangunan perbandaran di Bayan Baru, Bayan Lepas, Perai, Seberang Jaya, Bukit Minyak serta Juru. Fokus PDC yang terkini adalah di Batu Kawan iaitu menukarkan simpanan tanah terbesar yang diperolehi pada tahun 1990-an kepada perindustrian, komersial dan pembangunan perumahan bercampur.

"Menerusi projek pembangunan ini, kerajaan negeri menyediakan ribuan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada rakyat Pulau Pinang dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyelar tindakan Tong Keong yang menggunakan logik pembangunan yang dilihat akan menyebabkan Pulau Pinang tetap berada di takuk lama.

"Beliau mencadangkan agar kerajaan negeri menyimpan tanah yang ada dan menghentikan semua pembangunan.

"Jika kita guna logik pembangunan Tong Keong, Pulau Pinang akan terus menjadi sebuah negeri yang tidak membangun dan ketinggalan," katanya.

Terdahulu, Tong Keong menggesa Kon Yeow memberi penjelasan tentang peranan PDC kerana rakyat berpendapat perbadanan itu kini telah menjadi agensi penjualan tanah.

Tong Keong juga menyatakan kebimbangannya dengan mendakwa PDC mungkin akan diambil alih oleh kerajaan Persekutuan yang disifatkan sebagai menggadai kepentingan rakyat Pulau Pinang.