Dosa besar langgar arahan TEMCO

Mohd Asri
Mohd Asri
A
A
A

KANGAR - Tindakan melanggar peraturan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 adalah dosa besar dari segi agama, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, tindakan itu bukan hanya salah di sisi undang-undang malah ia satu dosa besar kerana membahayakan nyawa orang lain dan melanggar ajaran Nabi Muhammad SAW dalam menangani wabak.

"Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdurrahman Auf bahawa Nabi Muhammad SAW pernah memberi arahan jika kita mendengar (wabak penyakit) taun di satu tempat jangan masuk dan orang yang berada di dalam jangan keluar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, inilah yang sedang dilakukan oleh kerajaan bagi menunaikan tanggungjawab dalam memastikan keselamatan rakyat.

"Rakyat hendaklah patuh kepada arahan TEMCO dan golongan ahli agama yang berada di dalam kawasan terbabit iaitu ulama, ustaz dan imam perlu ingatkan orang ramai agar jangan keluar dari kawasan wabak dan patuhi arahan kerajaan sehingga tempoh Temco tamat," katanya.

Mohd Asri berkata, dalam kes penularan Covid-19, individu yang bersikap degil melanggar TEMCO berdosa kepada semua orang yang terkena jangkitan dengan wabak yang disebarkan itu.

"Ini perkara serius dan perlu dipatuhi oleh semua orang kerana peranan agama juga adalah menjaga nyawa," katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Temco di dua kampung dalam daerah Sanglang iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul yang dikuatkuasakan dari 10 hingga 31 Ogos.- Bernama

Artikel Berkaitan: