MPK laksana e-billing bermula tahun depan

Hamdan mengimbas QR Code dan mengemas kini maklumat melalui E-Billing: Kuantan Ke Arah Bandaraya Pintar sebagai gimik pelancaran inisitif digital diperkenalkan MPK itu hari ini.
Hamdan mengimbas QR Code dan mengemas kini maklumat melalui E-Billing: Kuantan Ke Arah Bandaraya Pintar sebagai gimik pelancaran inisitif digital diperkenalkan MPK itu hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menambah baik kualiti perkhidmatan dengan melaksanakan proses pendigitalan melalui pengenalan bil elektronik (e-billing) sepenuhnya bermula tahun hadapan.

Melalui inisiatif baharu itu, bil cukai taksiran tidak lagi dihantar ke rumah pemilik pegangan sebaliknya secara dalam talian termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan emel.

Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin berkata, sebagai permulaan, perkhidmatan e-billing hanya melibatkan cukai taksiran sebelum diperluaskan untuk bayaran perkhidmatan lain.

Menurutnya, inisiatif itu sebagai usaha ke arah mentransformasikan kualiti perkhidmatan MPK selain menambah baik sistem pembayaran termasuk secara atas talian yang diperkenalkan sebelum ini.

“Kita menjangkakan kadar bayaran terutama melibatkan cukai taksiran meningkat sebanyak 30 hingga 40 peratus berbanding kaedah bayaran sedia ada.

“Ini berdasarkan kepada peningkatan penggunaan sistem pembayaran atas talian yang disediakan pihak MPK termasuk melalui aplikasi Pahang Go yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran E-Billing: Kuantan Ke Arah Bandaraya Pintar di Kompleks Ibu Pejabat MPK di sini hari ini.

Hamdan berkata, MPK kini dalam proses mengemaskini data termasuk maklumat pelanggan dan mengumpul maklum balas orang ramai melalui QR Code E-Billing: Kuantan Ke Arah Bandaraya Pintar yang dilancarkan hari ini.

“Selain kepada pemegang akaun, QR Code itu akan dipamerkan kepada umum secara meluas melalui media sosial, media, tempat awam, pejabat kerajaan, rumah ibadat dan sebagainya bagi memudahkan orang ramai mendaftar dan mengemas kini data masing-masing sehingga 31 Disember depan.

Artikel Berkaitan:

“Melalui data kaji selidik yang dikumpulkan akan memudahkan MPK mendapatkan maklum balas untuk kajian secara terperinci sebelum e-billing ini dilaksanakan,” katanya.

Hamdan berkata, beliau yakin proses itu berjalan lancar kerana masyarakat menggunakan telefon pintar dan tiada isu dalam ekses internet kerana capaiannya mencapai 99 peratus di daerah ini.

“Bagaimanapun kita akan membuat kajian terperinci membabitkan isu ini bagi memastikan orang ramai dapat menggunakan kemudahan ini secara menyeluruh.

“Jika ada masalah di sesetengah kawasan berkaitan ekses internet, kita akan cuba selesaikan dengan pihak operator dan dalam tempoh empat bulan ini, kita akan melihat semula segala segala hasil data yang dikumpulkan untuk tindakan lanjut," katanya.