Ahli Parlimen makan sedap

Gambar yang tular menunjukkan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional makan besar di Parlimen.
Gambar yang tular menunjukkan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional makan besar di Parlimen.
A
A
A

AWANG pun tergiur juga tengok foto Speaker Dewan Rakyat dan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional makan besar di Parlimen. Banyak betul lauk pauknya. Lepas itu semua tunjukkan ibu jari thumbs-up kata orang putih. Tentunya tanda kenyang dan sedap makan.

Dengarnya dari 13 Julai hingga 27 Ogos, ada syarikat GLC yang keluarkan duit untuk tujuan itu. Awang tak kisah ahli Parlimen nak makan sedap. Itu hak mereka. Takkan tak boleh bayar sendiri? Kongsi bayar kan boleh!

Sekarang zaman susah. Covid-19 sedang melanda. Banyak syarikat buang pekerja. Banyak rakyat kita menganggur. Jangankan nak makan sedap, nak pastikan ada makanan atas meja pun susah. Tiba-tiba rakyat tengok Speaker Dewan Rakyat dan ahli Parlimen makan sedap dan ditanggung percuma pula.

Kesian rakyat. Awang boleh faham kemarahan netizen dalam soal ini. Biarlah cakap serupa bikin. Mereka suruh rakyat ikat perut, tapi mereka tunjuk tanda best selepas makan udang besar.

Awang nak ingatkan Tan Sri Perdana Menteri, rakyat memerhati. Awang harap kerajaan Tan Sri Perdana Menteri kena lebih prihatin pada nasib rakyat dalam hal ini.

Melayu mana jadi ahli?

Orang tua dulu ada peribahasa, ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’. Nampaknya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kena masukkan entri peribahasa baharu, ‘sekali pemimpin kalah, sekali parti bertambah’. Begitulah yang berlaku pada Tun mantan Perdana Menteri yang baru-baru ini umumkan penubuhan parti baharu.

Parti ini belum bernama lagi, dengarnya akan jadi parti bebas dan tak tertakluk atau bergabung sama ada dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Nampaknya parti ini lahir daripada rasa kecewa. Macam banyak parti Melayu yang lain juga. Kecewa kerana pemimpin tak dapat tempat. Kecewa kerana kalah. Kecewa kena tikam dari belakang. Macam-macam lagi.

Sejarah parti politik Melayu nampaknya begitulah. Daripada UMNO, ada serpihan yang jadi Pas. Daripada UMNO, jadi Semangat 46. Daripada UMNO jadi Bersatu. Daripada Bersatu jadi parti baharu yang tak bernama. Daripada Pas jadi Amanah.

Semakin berpecahlah orang Melayu. Sasarannya sama. Agaknya orang Melayu memang suka berparti politik.

Setahu Awang orang Cina boleh jadi ahli MCA, DAP, Gerakan atau Keadilan sekalipun. Tapi mereka satu hati apabila ada hal yang membabitkan kepentingan bangsa mereka. Tapi orang Melayu bila berpecah, berpatah arang kata orang.

Awang hormati niat Tun mantan Perdana Menteri nak buat parti baharu. Tapi Awang tak tahu apakah untungnya buat parti baharu yang akan tambah pecahbelahkan orang Melayu.