Rak pasu bertingkat laris ketika PKP

Norhisham sedang menghasilkan rak pasu bertingkat di bengkel Nicron Riemal Resources di Seksyen 29, Shah Alam, Selangor.
Norhisham sedang menghasilkan rak pasu bertingkat di bengkel Nicron Riemal Resources di Seksyen 29, Shah Alam, Selangor.
A
A
A

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu telah membuka ruang kepada Nicron Riemal Resources untuk meneroka perniagaan rak pasu bertingkat berasaskan simen ferro.

Pemiliknya, Kamarul Arifin Ehsan berkata, idea itu tercetus apabila beliau melihat orang ramai mula minat menanam pokok ketika PKP.

“Bermula dari situ saya mula menghasilkan rak pasu bertingkat dan menceburkan diri dalam perniagaan ini sekitar April lalu.

“Tempahan yang diterima amat memberangsangkan sehingga saya menerima tempahan pelanggan daripada seluruh negara,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Lelaki berasal dari Puchong, Selangor yang berusia 41 tahun itu berkata, lebih 100 rak pasu bertingkat telah dijual dalam tempoh dua bulan syarikatnya beroperasi.

“Harga bagi setiap rak pasu bertingkat dijual mengikut bilangan tapak yang dihasilkan berdasarkan tempahan diterima.

“Rak pasu bertingkat empat tapak kami jual pada harga RM150, enam tapak (RM200) manakala sembilan tapak (RM250),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rak pasu bertingkat yang dihasilkan oleh Nicron Riemal Resources.
Rak pasu bertingkat yang dihasilkan oleh Nicron Riemal Resources.

Selain rak bertingkat, Kamarul berkata, syarikatnya itu turut menghasilkan produk lain seperti pasu balak, meja batu dan tempahan lain mengikut cita rasa pelanggan.

Menurutnya, semua tempahan itu disiapkan dengan bantuan rakan kongsinya, Mohd Norhisam Kadir, 44, bersama tiga orang pekerja lain di bengkel mereka yang terletak di Seksyen 29, Shah Alam, Selangor.

“Sebelum ini, saya pernah mencuba pelbagai perniagaan namun gagal.

“Namun apabila bertemu Norhisham, kami berbincang dan kemudiannya mendapat idea untuk mengembangkan pemasaran produk ini memandangkan sambutannya amat baik,” katanya.

Pasu balak antara produk simen ferro Nicron Riemal Resources yang mendapat permintaan daripada pelanggan.
Pasu balak antara produk simen ferro Nicron Riemal Resources yang mendapat permintaan daripada pelanggan.

Cabaran

Dalam pada itu, Kamarul berkata, pihaknya tidak berdepan cabaran besar dalam menguruskan perusahaan tersebut memandangkan saingan bagi memasarkan produk itu tidak begitu besar.

Untuk tahun pertama ini, pihaknya menyasarkan keuntungan sekitar RM100,000 menerusi jualan produk berasaskan simen ferro tersebut.

“Harapan saya agar kami dapat mengembangkan lagi produk ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pengindahan landskap di kawasan masing-masing,” katanya.

Kamarul (kanan) bersama pekerjanya membuat bancuhan simen untuk menghasilkan rak pasu bertingkat.
Kamarul (kanan) bersama pekerjanya membuat bancuhan simen untuk menghasilkan rak pasu bertingkat.

Sementara itu, Norhisham berkata, beliau mempunyai pengalaman selama 14 tahun dalam menghasilkan produk berasaskan simen ferro.

Anak kelahiran Jengka, Pahang itu memaklumkan beliau turut belajar menghasilkan reka bentuk produk yang menarik menerusi beberapa individu berpengalaman.

“Selain itu, saya juga ada belajar sendiri untuk pastikan kemahiran menghasilkan produk ini lebih kemas dan rapi sesuai dengan permintaan pelanggan,” katanya.

Katanya, beliau memang berminat menghasilkan produk berasaskan simen ferro malah pihaknya juga sentiasa cuba menghasilkan reka bentuk baharu untuk bagi menarik perhatian pelanggan.

Mereka yang berminat mendapatkan produk berasaskan simen ferro keluaran Nicron Riemal itu boleh berkunjung ke Facebook rasmi Kerusi Batu Ukiran Kayu.

Set meja batu bulat turut mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan.
Set meja batu bulat turut mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan.