'Ewa Bule' tawan hati juri di Jepun

Keunikan ditampilkan UCC menerusi persembahan maya mereka dari segi kualiti suara yang dihasilkan dengan kepelbagaian suku kaum dan etnik di Malaysia memberi tuah sehingga berjaya merangkul empat anugerah di 1st Tele-Chorus International Virtual Choir Competition di Jepun.
Keunikan ditampilkan UCC menerusi persembahan maya mereka dari segi kualiti suara yang dihasilkan dengan kepelbagaian suku kaum dan etnik di Malaysia memberi tuah sehingga berjaya merangkul empat anugerah di 1st Tele-Chorus International Virtual Choir Competition di Jepun.
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chamber Choir (UCC) berjaya merangkul empat anugerah daripada semua kategori yang dipertandingkan di 1st Tele-Chorus International Virtual Choir Competition di Jepun.

Dekan Fakulti Muzik, Profesor Madya Dr Tazul Izan Tajuddin berkata, menerusi pertandingan yang melibatkan 110 penyertaan dari pelbagai negara itu, UCC mempertaruhkan lagu tradisional Kelantan 'Ewa Bule' yang kemudiannya membawa tuah kepada mereka sehingga menjuarai kategori 'Most Favourite Audience Award', naib juara bagi 'Entertainment Award', naib juara 'Musical Award' dan naib juara bagi 'Judge's Special Award'.

Beliau berkata, pertandingan secara maya yang bermula sejak 31 Julai lalu pertama kali disertai Fakulti Muzik itu dan turut diadakan dalam norma baharu ketika pandemik koronavirus (Covid-19).

"UCC hanya dianggotai oleh pelajar Fakulti Muzik UiTM dan kita pertaruhkan lagu 'Ewa Bule' dengan memperagakan pakaian dan tarian tradisi daripada pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

"Lebih menarik kita gubah semula lagu ini yang pada asalnya merupakan sebuah dikir barat kepada versi koir. Suntingan semula semuanya dilakukan oleh ahli-ahli UCC dengan bimbingan Profesor Madya Dr Masashi Kishimoto dari Fakulti Muzik UiTM Shah Alam," katanya dalam satu kenyataan.

Tazul Izan
Tazul Izan

Tambahnya, kelebihan UCC ini juga ialah kualiti suara yang dihasilkan dengan kepelbagaian suku kaum dan etnik di Malaysia yang ditonjolkan ketika persembahan secara maya.

"Kemenangan dan pencapaian ini merupakan manifestasi terbaik kerjasama serta persefahaman pelajar dan pengajar fakulti menampilkan kebolehan dan kemahiran masing-masing di arena global," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tazul Izan berkata, penilaian untuk pertandingan itu dibuat oleh pakar berpengalaman dan terkenal di dalam bidang koir dan komposer di Jepun iaitu Presiden Kolej Muzik Osaka, Profesor Hideki Motoyama serta komposer Kentaro Sato dan Masaya Ishiwaka.

Menurutnya, penilaian berdasarkan persembahan peserta membabitkan kualiti suara, kandungan dan teknik suntinga," katanya.