Inilah dia masyarakat madani

A
A
A

DUA hari lalu, saya menerima video yang memaparkan kawasan kedai-kedai judi di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. Video tersebut membawa penonton meronda dari jalan ke jalan di bandar berkenaan dengan suara latar orang yang merakam video itu.

Suara tersebut mendakwa terdapat banyak pusat judi haram, penjualan rokok seludup dan juga kedai-kedai yang diusahakan oleh golongan pendatang asing tanpa izin (PATI). Suara latar itu sempat berkata bahawa dia terpaksa menghilangkan dirinya sambil mendakwa mungkin dibunuh kerana menularkan rakaman berkenaan.

Pada hari yang sama, saya menemui video temu bual portal Malakat Tribune dengan si empunya video yang tular itu. Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut yang merupakan pengasas Hot Burger Malaysia menceritakan mengapa beliau menularkan video tersebut. Pengakuannya itu mendapat 31,000 perkongsian, 6,400 komen dan juga 51,000 tanda suka. Ia petanda jelas bahawa tindakannya itu mendapat sokongan orang ramai.

Berikutan itu, beliau dipanggil oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin secara berasingan. Kedua-duanya menyuarakan pandangan yang sama iaitu akan mengambil tindakan terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) seandainya mereka didapati tidak menjalankan tanggungjawab.

Pihak PDRM telah membuat serbuan di kawasan yang dinyatakan. Gabungan badan bukan kerajaan (NGO), PEMBELA menyokong penuh tindakan Asri Janggut dan akan membela beliau sekiranya dizalimi sebagai pelapor. Kuasa viral media. Inilah kuasa baharu yang berperanan memapar dan menyebarluaskan sesebuah berita kepada masyarakat dengan kadar segera.

Laporan sebegini bukanlah hebahan pertama yang dibuat oleh orang awam. Sebelum ini berpuluh-puluh video angkara salah laku telah tersebar. Video pemandu mabuk yang melanggar orang yang tidak bersalah, pergaduhan penghantar makanan dengan pelanggan, kes peragut, malah patient under surveillance Covid-19 (PUS) yang memakai ‘gelang pink’ mudah dikesan pihak bertanggungjawab berikutan pantasnya penyebaran sesebuah video dan foto melalui media siber.

Orang ramai semakin berani untuk berkata yang benar. Jika dahulu, rakyat Malaysia pernah dikatakan sebagai golongan yang takut untuk tampil sebagai saksi, kini tidak lagi. Malah, terdapat pelbagai akaun media sosial seperti Info Trafik Kemalangan, Kes Jenayah Malaysia dan pelbagai laman Jabatan Netizen yang sedia mengumpul dan menularkan segala maklumat salah laku. Ia membantu pihak berkuasa mendapat bahan bukti dan bertindak.

Setelah hampir 63 tahun merdeka, masyarakat Malaysia telah menunjukkan kematangan dan berubah menjadi sebuah masyarakat yang madani. Kita mempunyai pelbagai NGO kemanusiaan yang muncul membantu mereka dalam kesusahan. Kita telah lihat betapa pantasnya mereka membantu golongan B40 dengan menghantar bahan makanan dan juga peralatan PPE kepada barisan hadapan tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan kerana Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Kita juga mempunyai banyak sekali badan-badan amal kebajikan, pendidikan, kepenggunaan, pendidikan dan perundangan yang sedia menyingsing lengan membantu tugas pihak berkuasa sebagai pasukan sokongan mahupun menjadi kumpulan pendesak agar penguatkuasaan serta pelaksanaan dasar pihak pemerintah dapat dijalankan secara saksama.

Yang penting, mereka tidak menangani undang-undang di tangan sendiri. Semakin ramai dalam kalangan kita yang sedia menjadi pembela rakyat. Konsep kita jaga kita. Inilah civil society atau masyarakat madani.

Dari satu sudut, mereka telah mengambil alih peranan ahli-ahli politik yang seharusnya membela mereka tetapi maaf cakap menjadi bahan hiburan dan jenaka rakyat.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian