Keperluan untuk pemulihan

A
A
A

PADA 6 Ogos lalu, pihak kerajaan telah membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 buat bacaan kali pertama. Kerajaan juga mengesahkan bahawa bacaan kedua dan perbahasan akan diadakan pada sidang kali ini juga.

RUU itu bertujuan untuk mengadakan peruntukan undang-undang bagi membiayai pakej pemulihan (Prihatin) dan rangsangan ekonomi (Penjana) yang dikatakan berjumlah hampir RM45 bilion.

Melalui RUU itu, had amaun jumlah hutang langsung kerajaan akan dinaikkan daripada 55 peratus sehingga 60 peratus berbanding KDNK bagi membolehkan kerajaan dapat meminjam selaras dengan ketetapan undang-undang, khususnya Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983.

Penulis berpendapat peningkatan jumlah hutang kerajaan daripada jumlah terkini yang dimaklumkan oleh Menteri Kewangan di Parlimen tempoh hari - iaitu RM854 billion dengan jumlah tanggungan liabiliti RM1.2 trillion - adalah diperlukan kerana keadaan ekonomi negara dan rakyat pasca-Covid-19 masih tidak menentu.

Masih ramai memerlukan bantuan kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Masih banyak perniagaan masih belum pulih sepenuhnya.

Tindakan kerajaan meningkatkan kecairan (liquidity) melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang mencecah hampir RM11 bilion membolehkan rakyat dapat berbelanja membeli barangan keperluan, sekali gus memastikan rantaian nilai ekonomi tempatan masih berjalan. Ditambah dengan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan, ia dapat membantu rakyat merancang perbelanjaan dan aliran tunai mereka.

Pelaksanaan Penjana pula diharap dapat merancakkan ekonomi tempatan melalui pelbagai insentif dan bantuan untuk mengembalikan kapasiti pengeluaran produk serta perkhidmatan. Berjayanya Penjana bermakna majikan akan kembali mengambil pekerja dan penggunaan (consumption) ekonomi tempatan juga dapat meningkat.

Cabaran

Artikel Berkaitan:

Penulis berpendapat perbahasan RUU Covid-19 lebih tertumpu kepada soal tadbir urus, pematuhan pelaksanaan sampai ke sasaran, transparensi maklumat dan cabaran menguruskan tekanan fiskal yang bakal meningkat kelak.

Pihak pembangkang tidak akan menolak amaun RM45 bilion yang dipohon daripada RUU Covid-19 kerana ia sudah dibelanjakan dan disokong rakyat tetapi mereka mungkin akan cuba meniup sentimen dan persepsi bahawa pelaksanaan Prihatin serta Penjana tidak telus dan bakal menyebabkan negara bankrap.

Mengenai cabaran fiskal, penulis mengakui had 55 peratus yang ditetapkan dalam Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 adalah ditetapkan oleh kita sendiri (self-imposed) dan ia boleh dipinda oleh kerajaan pada bila-bila masa dengan mengambil kira penarafan kredit negara pada masa hadapan. Kenaikan had amaun hutang langsung sebanyak lima peratus daripada RUU itu dijangka meningkatkan kadar defisit fiskal negara sekitar 5.8 peratus hingga 6.0 peratus daripada KDNK.

Namun, ia tidak bermakna Malaysia akan bankrap. Penulis yakin pada masa yang sama, Kementerian Kewangan sudah pasti sedang menilai keadah-kaedah baharu bagi memantapkan pengurusan fiskal negara.

Mungkin sudah sampai masa untuk kerajaan Perikatan Nasional mempertimbangkan pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sudah terbukti lebih efisien dan telus. Kita sudah tidak boleh bergantung harap kepada sumber hasil petroleum kerana harga minyak dunia pada tahap yang rendah.

Tuntas, RUU Covid-19 adalah satu keperluan kepada pemulihan yang berpanjangan. Pun begitu, kita harus bersedia dengan pengurusan fiskal yang baik demi kesinambungan kemakmuran dan pembangunan ekonomi untuk anak cucu kita kelak.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia