Kes Covid-19 di Melaka tiada kaitan Kluster Sivagangga

Ismail Ali
Ismail Ali
A
A
A

MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengesahkan bahawa satu kes positif koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan di Melaka semalam tidak mempunyai kaitan dengan Kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Sivagangga.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Ismail Ali berkata pihaknya telah mengesahkan perkara itu dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan.

Beliau berkata bagaimanapun, semua ahli keluarga dan kontak rapat kes telah melakukan ujian saringan Covid-19 dan diarah menjalani perintah kuarantin di rumah.

"Merujuk kepada pesanan ringkas yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp berkaitan makluman terdapat kes positif Covid-19 di Melaka berkait secara langsung dengan kluster PUI Sivagangga semalam adalah tidak benar.

"Ia disebarkan individu yang tidak dikenali dan tidak bertanggungjawab," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, tular di WhatsApp dakwaan bahawa kes positif Covid-19 yang dilaporkan di Melaka mempunyai kaitan dengan kluster Sivagangga melibatkan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun yang melakukan saringan di sebuah hospital swasta.

Mesej itu turut mendakwa wanita dari Bukit Katil tersebut baru pulang dari Kedah bersama keluarganya dan mempunyai kontak rapat dengan kluster berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Ismail menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih khususnya yang melibatkan Covid-19 bagi mengelak sebarang kegusaran atau panik dalam kalangan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai Covid-19 boleh diperoleh melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6851 atau e-mel cprcmelaka@moh.gov.my.