Kerajaan negeri perlu bantu pembangunan hoki

Subahan Kamal
Subahan Kamal
A
A
A

KERAJAAN negeri diharap dapat tampil membantu memberikan bantuan kewangan bagi pembangunan sukan hoki di negeri khasnya pada peringkat akar umbi.

Menurut Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan suntikan sekurang-kurangnya RM300,000 setahun untuk persatuan hoki negeri bagi menyemarakkan semangat sukan yang diiktiraf sukan berpasukan terbaik negara untuk terus berkembang.

Katanya, beliau sedih kerana terdapat kerajaan negeri yang agak kaya, tetapi tidak membantu sukan hoki, dan berterima kasih kepada negeri seperti Terengganu, yang membelanjakan jutaan ringgit setahun untuk membangunkan pemain dan menyertai Liga Hoki Malaysia (MHL).

“Saya akan ke Terengganu untuk bertemu exco negeri (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Wan Sukairi Wan Abdullah), untuk berterima kasih kepada mereka kerana Terengganu telah membelanjakan RM3 juta setahun, jika saya tidak silap.

“Pasukan hoki lelaki kita berada di tangga ke-11 dunia. Kita belanja banyak untuk sukan lain, tetapi untuk sukan yang boleh cemerlang dan dapatkan keputusan terbaik pada peringkat dunia, mereka (kerajaan negeri) tidak membantu,” katanya pada sidang media bengkel Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP), di Kuala Lumpur.

Subahan berkata, badan kebangsaan itu memerlukan kira-kira RM10 juta setahun untuk pelbagai program, menganjurkan liga dan kejohanan, latihan pasukan kebangsaan dan kejohanan luar negara dan juga latihan.

Katanya, ada kalanya persatuan hoki negeri tidak dapat menjalankan program dan perancangan yang dirancang akibat kekurangan dana, maka tidak adil untuk menyalahkan mereka.

“Tahun lalu kami memutuskan untuk memberikan dana kepada persatuan hoki negeri untuk membantu mereka dan walaupun terjejas akibat pandemik Covid-19, kami sedang melihat jika boleh lakukan yang sama tahun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Subahan berkata, pengarah teknikal yang baru akan dilantik tidak lama lagi, akan diberikan tugas untuk memantau ketua jurulatih program NHDP di negeri-negeri, yang merupakan program kerjasama antara MHC, Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan dan persatuan hoki negeri.

"Program pembangunan adalah penting bagi melahirkan pemain berkualiti, dengan mengambil contoh Program Hoki 1Mas yang bermula 10 tahun lepas sebelum dihentikan pada 2018 kerana kekurangan dana.

"Program ini telah melahirkan pemain-pemain seperti Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi, yang menunjukkan bakat mereka dalam pasukan kebangsaan," katanya.