X

Kindly register in order to view this article
!

Isu TH: Mujahid - Abdul Azeez berbalah lagi

Paparan skrin menunjukkan Mujahid dan Abdul Azeez bercakap pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Isu Tabung Haji sekali lagi mencetuskan perbalahan antara Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dalam persidangan Dewan Rakyat sesi petang hari ini.

Kekecohan mula tercetus apabila Mujahid menyentuh mengenai teguran yang dibuat Bank Negara kepada Pengerusi Tabung Haji (TH) mengenai audit institusi kewangan Islam pada tahun 2017 di mana ketika itu Abdul Azeez menyandang jawatan tersebut.

Mujahid membangkitkan perkara itu bagi memberi penjelasan mengenai usaha pemulihan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan ketika itu beliau merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Katanya, proses pemulihan yang dilakukan ke atas TH oleh kerajaan PH pada ketika itu turut melibatkan dua lagi kementerian lain iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

"Kenapa kita lakukan pemulihan ini kerana pertama menurut Jabatan Akauntan Negara (dan) akauntan sendiri (beri) kenyataan bahawa berlaku defisit RM4.1 bilion itu bukan rekaan daripada TH atau saya selaku menteri yang bertanggungjawab ketika itu.

"Tetapi ia daripada Jabatan Audit Negara sendiri yang ketika itu jika diizinkan saya sebut di sini, tanggungan atau liabiliti yang ada pada TH ialah RM74.4 bilion manakala aset ialah RM70.3 bilion menyebabkan defisit RM4.1 bilion," katanya pada sesi membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 di sini hari ini.

Mujahid yang melihat Abdul Azeez bangkit untuk mencelah sempat memberitahu ahli Parlimen Baling itu supaya bersabar dan menunggu sesi debat pada 14 Ogos ini.

"Saya lihat Baling bangun, Baling kena simpan sikit poin nanti kita hendak debat pada 14 haribulan," katanya.

Abdul Azeez bagaimanapun tetap mencelah dengan memberitahu perkara yang dibangkitkan Mujahid itu tergantung.

"Apa yang dinyatakan oleh Parit Buntar ini saya teliti kebanyakan apa yang dimaklumkan tidak habis, tidak ada titik noktah...tergantung.

"Contohnya, saya telah menulis surat kepada yang berbahagia Tan Seri Zeti (Gabenor Bank Negara ketika itu) pada 18 Januari 2016, ini surat saya..tapi Yang Berhomat, sedar atau tidak..saya dah berulang kali nyatakan (bahawa) pada 26 Januari Bank Negara telah balas surat saya dan menyatakan bahawa TH mula pruden (berhemah) dan saya boleh baca lagi sekali kalau tidak faham," katanya.

Mujahid kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Abdul Azeez dan memberitahu perkara itu telah disebut oleh beliau mencelah pada sesi perbahasan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baru)

"Terima kasih Baling, saya rasa point awak masa Kulim Bandar Baru berucap tadi," katanya.

Abdul Azeez bagaimanapun tetap berdiri serta sambung mencelah dengan memberitahu Dr Mujahid supaya jangan mengelirukan dewan.

Susulan itu, suasana dewan bertambah panas apabila Mujahid dan Abdul Azeez saling berbalas kenyataan.

Suasana bingit yang berlanjutan lebih 10 minit selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan turut bangkit mencelah.

Timbalan Speaker, Datuk Seri Azina Othman Said kemudiannya campur tangan dengan memberitahu masa untuk perbahasan bagi giliran Dr Mujahid telah tamat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!