Sasaran jualan kraf diturunkan lebih separuh

Nancy (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian MycraftShoppe di Parlimen hari ini.
Nancy (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian MycraftShoppe di Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menurunkan sasaran jualan produk kraf tahun ini kepada RM200 juta berbanding RM500 juta yang diumumkan sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sasaran baharu itu dibuat mengambil kira kesan wabak Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia.

"Sepanjang tahun 2019, Kraftangan Malaysia telah berjaya mencapai nilai jualan produk kraf berjumlah RM519.7 juta dan mencatatkan bilangan usahawan seramai 5,816.

"Walau bagaimanapun, akibat kesan daripada penularan Covid-19, Kraftangan mengunjurkan sasaran baharu bagi jualan kraf tahun 2020," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan MycraftShoppe dan Pembukaan Semula Outlet Karyaneka di Dewan Parlimen di sini hari ini.

Katanya, setakat 30 Jun lalu, nilai jualan produk kraf telah mencecah RM134.6 juta dengan bilangan usahawan kraf yang terlibat seramai 5,885 orang.

Sementara itu, mengulas mengenai MycraftShoppe atau e-matketplace iaitu platfom jualan digital oleh Kraftangan, Nancy berkata, jualan dalam talian itu merupakan usaha mengukuhkan saluran pemasaran produk kraf dan perkhidmatan yang berkonsepkan 'global reach local identity'.

Katanya, e-marketplace itu juga membuka peluang kepada pengguna perkhidmatan dalam talian untuk terlibat bagi memasarkan produk atau perkhidmatan mereka.

"Ia merangkumi produk, bahan mentah, rekaan produk, perkhidmatan selepas pembelian dan maklumat berkaitan industri kraftangan negara.

Artikel Berkaitan:

"Kategori produk meliputi lima bidang utama iaitu tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf," katanya.