Lelaki didakwa ubah wang haram RM16,000

Rosyizwan mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Tunjong hari ini.
Rosyizwan mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Tunjong hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membabitkan transaksi pengubahan wang haram bernilai RM16,000 pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Rosyizwan Jali, 36, didakwa di hadapan Hakim Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa terbabit dalam transaksi pengubahan wang haram dengan melupuskan wang RM6,000 daripada akaun bank miliknya hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Mahmood, antara 13 hingga 14 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa terbabit dalam transaksi pengubahan wang haram dengan memindahkan wang RM10,000 daripada bank miliknya kepada penama akaun, Adi Makram Mohamad, 31, iaitu hasil daripada aktiviti haram 14 Disember.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Chooi Yi manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan.

Terdahulu, Chooi Yi menawarkan jaminan RM80,000 bagi dua pertuduhan berkenaan selain memohon tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Nik Saiful Adli memohon jaminan anak guamnya dikurangkan kerana tertuduh hanya bekerja kampung dan memohon mahkamah mengambil kira kehadiran dan kerjasama tertuduh di mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM25,000 dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap 1 haribulan setiap bulan.