56 kepimpinan tertinggi Bersatu Jerlun keluar parti

Aziz (dua, kanan) bersama ahli akar umbi secara simbolik menurunkan bendera dan menanggalkan papan tanda parti Bersatu.
Aziz (dua, kanan) bersama ahli akar umbi secara simbolik menurunkan bendera dan menanggalkan papan tanda parti Bersatu.
A
A
A

JERLUN - Seramai 14 Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersatu Bahagian Jerlun diketuai Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk A Aziz Mohamod meletakkan jawatan dan mengumumkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuatkuasa semalam.

Aziz berkata, 14 daripada 18 AJK itu termasuk Naib Ketuanya, Datuk Khalid Ahmad; Ketua Armada, Ahmad Shauqie Syeikh Baderuddin; Ketua Srikandi, Mashitah Abu Seman serta ketua-ketua cawangan Bersatu Jerlun.

Menurutnya, pada peringkat pertama ini, seramai 56 kepimpinan tertinggi bahagian menyerahkan surat peletakan jawatan.

“Ini akan disusuli dengan majoriti ahli cawangan yang turut berbuat demikian, menyebabkan 25 cawangan daripada 35 cawangan Bersatu Jerlun terbubar secara automatik. Keseluruhan ahli Bersatu Jerlun adalah seramai 5,400,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Aziz berkata, kepimpinan tertinggi Bersatu Bahagian Jerlun dan akar umbi membuat keputusan itu tanpa paksaan, sebaliknya atas dasar dan matlamat perjuangan dalam mengekalkan prinsip.

Aziz (tiga, kiri) bersama 56 kepimpinan tertinggi bahagian Jerlun menunjukkan surat perletakan jawatan masing-masing.
Aziz (tiga, kiri) bersama 56 kepimpinan tertinggi bahagian Jerlun menunjukkan surat perletakan jawatan masing-masing.

“Secara rasminya kami meninggalkan parti ini berkuat kuasa 10 Ogos, kerana kami telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Malah parti dilihat seolah ketidaktentuan dalam hala tuju berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Menurutnya, perjuangan asal parti Bersatu sudah tersasar daripada objektif penubuhannya untuk memerangi kerajaan kleptokrasi apabila kepimpinan tertinggi Bersatu bersekongkol dengan UMNO, selaku pembangkang yang ditewaskan pada PRU14 lalu.

Artikel Berkaitan:

“Secara prinsipnya ia telah melanggar perlembagaan dan peraturan parti itu sendiri. Kami sertai Bersatu sebelum ini adalah kerana dasar perjuangan dibawa pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Aziz berkata, sudah tiba masanya mereka meninggalkan Bersatu untuk meneruskan perjuangan Dr Mahathir menubuhkan sebuah parti baharu dengan mengekalkan prinsip perjuangan yang asal.

“Mengikut Perlembagaan Bersatu, ahli yang menyertai parti lain keahliannya automatik gugur. Kami sepakat keluar parti untuk permudahkan proses menjadi ahli parti baharu diasaskan Dr Mahathir kelak,” katanya.