Saman AWAS: Bayar atau disenaraihitam, kata JPJ

Shaharuddin(tiga kanan) bersama Azman (dua kiri) menyempurnakan perasmian Stesen JPJ baharu di Hentian R&R Gunong Semanggol arah selatan, Bagan Serai pagi tadi.
Shaharuddin(tiga kanan) bersama Azman (dua kiri) menyempurnakan perasmian Stesen JPJ baharu di Hentian R&R Gunong Semanggol arah selatan, Bagan Serai pagi tadi.
A
A
A
BAGAN SERAI - Seramai 84,974 pesalah jalan raya kini bakal disenaraihitamkan dari rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan kegagalan membayar saman kesalahan dirakam melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sejak 1 September tahun lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, sejak pengambilalihan sistem AWAS daripada pihak swasta pada 1 September tahun lalu, JPJ sudah mengeluarkan jumlah keseluruhan saman sebanyak 95,850 kes sehingga 31 Disember 2018.

Menurutnya, daripada keseluruhan jumlah itu, hanya 10,876 bilangan saman dibayar oleh pesalah trafik, manakala selebihnya dibawa ke mahkamah atau telah disenaraihitamkan gara-gara sudah menerima waran tangkap daripada pihak mahkamah.

"Bilangan pesalah trafik di bawah kesalahan kamera AWAS disahkan sudah disenaraihitamkan sehingga kini adalah 39,311 susulan waran tangkap dikeluarkan ke atas mereka setelah gagal hadir perbicaraan di mahkamah.

"Setiap pesalah trafik di bawah sistem kamera AWAS diberi tempoh 60 hari untuk melunaskan pembayaran saman diterima dan JPJ tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas mendakwa mereka di mahkamah termasuk menyenaraihitamkan mereka dari rekod jabatan sekiranya gagal menyelesaikannya mengikut tempoh masa diberikan," katanya pada sidang media majlis perasmian Stesen JPJ di Hentian Rehat dan Rawat(R&R) Gunong Semanggol Arah Selatan dekat sini hari ini.

Shaharuddin(tengah) menyempurnakan majlis menandatangani plak perasmian pembukaan Stesen JPJ baharu di Hentian R&R Gunong Semanggol arah selatan pagi tadi.
Shaharuddin(tengah) menyempurnakan majlis menandatangani plak perasmian pembukaan Stesen JPJ baharu di Hentian R&R Gunong Semanggol arah selatan pagi tadi.

Turut hadir Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan JPJ, Datuk Ahmad Nasir Ab Gani dan Pengarah JPJ Perak, Mohd Zawawi Zakaria.

Shaharuddin berkata, sehingga kini, sebanyak 45 kamera AWAS sudah dipasang di seluruh negara dengan 17 daripadanya diletakkan di kawasan lebuhraya.

Menurutnya, kesemua kamera AWAS dipasang di kawasan lebuhraya akan merekodkan kesalahan pesalah trafik yang memandu melebihi had kelajuan 110 kilometer sejam sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum kini, kita sudah mengalihkan tiga kamera AWAS yang merekodkan kesalahan kelajuan trafik melebihi 90 kilometer sejam.

"Bagaimanapun, sebanyak empat kamera AWAS yang menetapkan had kelajuan tidak melebihi 80 kilometer sejam dijangka akan dipasang JPJ di sepanjang laluan Terowong Menora memandangkan kawasan itu dikategorikan kerap berlaku kemalangan.

"JPJ masih dalam proses kajian dan perbincangan dengan PLUS dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) bagi menentukan kesesuaian lokasi pemasangan kamera AWAS melibatkan dua unit di arah utara dan dua lagi di arah selatan," katanya.

Shaharuddin berkata, pemasangan empat unit kamera AWAS di laluan Terowong Menora itu dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini.

Menurutnya, JPJ sekali lagi ingin menekankan objektif pemasangan kamera AWAS adalah bagi mendidik pengguna jalan raya agar memandu kenderaan secara berhemah di samping mengurangkan risiko kemalangan.

"Sehubungan itu, mana-mana pemandu kenderaan melakukan kesalahan dirakam melalui kamera AWAS pada atau selepas 1 September 2018 dan telah menerima notis saman namun tidak menyelesaikan kompaun ditawarkan dalam tempoh yang ditetapkan, maka mereka diminta menyelesaikan segera bagi mengelakkan disenaraihitamkan dari rekod JPJ dan menerima waran tangkap.

"Oleh demikian, semua pesalah trafik dinasihatkan menyemak status saman mereka di mana-mana pejabat JPJ berhampiran atau di portal JPJ dan sekatan senarai hitam ini akan dilepaskan apabila pesalah kamera AWAS menyelesaikan kesnya secara membayar kompaun di mana-mana pejabat JPJ atau membayar denda di mahkamah,"katanya.