Kerajaan kaji semula diskaun 18 peratus kadar tol PLUS

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan mengkaji semula pemberian diskaun 18 peratus terhadap tol Lebuhraya Plus Malaysia Bhd (PLUS) yang dilaksanakan 1 Februari lalu.

Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan akan melihat kesan keputusan itu terhadap Dasar Penswastaan Negara yang berhubung kait dengan lebuh raya.

"Kita akan kaji balik kerana hanya Lebuhraya PLUS sahaja yang kekal, tetapi lebuh raya lain akan mengalami kadar peningkatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga akan melihat kesan kepada lebuh raya yang sedang dalam pembinaan dan cadangan pembinaan lebuh raya.

"Apakah arah tuju yang kita akan buat. Ini yang akan kita putuskan," katanya selepas pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus tersebut diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi di Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

Pengurangan kadar itu diumumkan pada 17 Januari ketika pemerintahan Pakatan Harapan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya itu berkata, ia selaras dengan pengumuman yang dibuat dalam Pembentangan Belanjawan 2020.

Artikel Berkaitan:

Sejajar dengan keputusan itu tempoh konsesi di kesemua Lebuhraya PLUS dilanjutkan selama 20 tahun dari tahun 2038 ke 2058.