Guan Eng dakwa jadi mangsa dendam politik

Guan Eng cuba menenangkan isterinya yang menangis pada sidang akhbar pagi tadi.
Guan Eng cuba menenangkan isterinya yang menangis pada sidang akhbar pagi tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa menjadi mangsa dendam politik selepas beliau dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan rasuah hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, mereka yang tidak berpuas hati dengannya tidak seharusnya melibatkan ahli keluarganya yang lain kerana tidak mempunyai kaitan langsung.

Menurutnya, sekiranya pihak berkenaan berdendam dengannya mereka boleh melakukan apa sahaja terhadap dirinya dan bukan mengheret isteri dan keluarganya dalam tindakan kotor untuk menjatuhkannya.

"Apa yang kami hadapi hari ini satu lagi pendakwaan yang tidak berasas dan bermotifkan politik.

"Saya sedih kerana mereka mahu mengaitkan isteri saya dalam kes ini sedangkan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dalam pertuduhan rasuah terhadapnya tidak mendapat projek kuaters pekerja di Juru. Projek itu diberikan kepada syarikat lain menerusi tender terbuka," katanya pada sidang akhbar pusat khidmatnya selepas pertuduhan kes mereka di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini semalam.

Guan Eng berkata, isterinya dikaitkan dalam pertuduhannya di mahkamah hanya kerana beliau mendapat hasil daripada kerjayanya sebagai seorang peguam bertauliah.

"Saya rasa tidak wajar dan munasabah sebab beliau peguam, jika fi peguam boleh jadi isu, saya rasa ada banyak kes lain lagi sebagai peguam bertauliah boleh didakwa.

"Jika dendam kepada saya, buat atas saya, mengapa pula perlu kenakan caj terhadap isteri saya yang tidak terlibat, ini memang tidak berasas," katanya yang menyifatkan pertuduhan berkenaan merupakan cabaran besar kerana turut melibatkan isterinya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Betty Chew mengakui terkejut dengan tiga pertuduhan mengikut siasatan pengubahan wang haram (AMLA) yang menggambarkan seolah-olah satu kes besar.

Katanya, sepanjang 26 tahun menjadi peguam, beliau sentiasa memastikan kerja-kerjanya mengikut undang-undang dan dipastikan tidak melakukan kesalahan.

"Saya bukan Kak Long (untuk didakwa di bawah AMLA).

"Adakah disebabkan saya isteri Guan Eng, maka saya perlu melalui semua ini? Ini sangat kejam dan dahsyat, saya sedih perkara ini berlaku di negara ini," katanya.