Dua budak, guru taska pulang dari Kedah jalani kuarantin

HANAFIAH MAT
HANAFIAH MAT
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua kanak-kanak dan seorang guru di Taska Permata yang diselia Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) masing-masing kini menjalani kuarantin secara sukarela di rumah selepas pulang berhari raya di Kubang Pasu, Kedah.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata, mereka tiada kaitan dengan Kluster Sivagangga, cuma kuarantin itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga selain turut melakukan saringan kesihatan di klinik berdekatan.

"Prosedur di Taska Permata turut memerlukan borang khas diisi oleh mereka yang merentas kawasan (luar Terengganu), dari situ kita dapat tahu ada yang pulang ke Kubang Pasu, Kedah.

"Tiga individu yang dikuarantin ini ialah dua kanak-kanak dari Taska Permint Jaya dan Taska Wakaf Tembesu manakala seorang dewasa itu ialah guru yang bertugas di Taska Bukit Perah dekat Hulu Terengganu.

"Guru itu yang berusia 33 tahun, cuma ada gejala batuk dan selesema jadi pihak Taska Permata dan YPKT menasihatkannya agar menjalani kuarantin di rumah," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Mereka dikuarantin sejak 3 Ogos lalu dan tempoh kuarantin bagi kanak-kanak ialah tujuh hari manakala individu dewasa selama 14 hari. - Bernama

Artikel Berkaitan: