MB digesa jelas dakwaan rasuah pegawai, ADUN Terengganu

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diminta untuk tidak terus berdiam diri berhubung dakwaan rasuah membabitkan pegawai kanan dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kini ditularkan menerusi media sosial.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pemimpin nombor satu negeri itu tiada alasan untuk terus menyepi kerana isu terbabit melibatkan integriti dan kepercayaan rakyat.

“Menteri Besar Terengganu dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada pilihan tetapi mesti menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung isu membabitkan pegawai kanan dan Timbalan Exco Kerajaan negeri.

“Tiada alasan untuk terus menyepi kerana kredibiliti mereka menjadi persoalan rakyat Terengganu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, ADUN Kemasik yang juga Timbalan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Saiful Azmi Suhaili menafikan dakwaan yang tersebar dalam laman sosial mengaitkan dirinya dengan perbuatan rasuah berjumlah RM500,000 bagi kelulusan projek pasir di negeri ini.

Beliau berkata, tindakan selanjutnya akan diambil selepas meneliti butiran dan berbincang dengan peguam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI), Nurul Islam Mohamed Yusoff yang dikaitkan sebagai pegawai kanan yang menjadi wakil kepada ADUN Kemasik itu turut menafikan dakwaan berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Nurul Islam berkata, beliau hanya mengetahui tentang dakwaan tersebut setelah dimaklumkan oleh beberapa rakannya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN SPRM siasat kes rasuah ADUN Terengganu