Logo baharu tonjol muafakat tiga parti lebih praktikal, kata Rais

RAIS YATIM
RAIS YATIM
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan logo yang menonjolkan permuafakatan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan UMNO dilihat lebih praktikal untuk digunakan sebagai lambang rasmi sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, penggunaan lambang baharu itu juga mestilah menterjemahkan kesejahteraan rakyat.

"Adalah lebih praktikal sekiranya ada lambang baharu yang memperlihatkan muafakat ketiga-tiga parti.

"Memang diakui logo BN ini sudah dikenali ramai, namun adalah lebih elok sekiranya ada logo baharu yang boleh menonjolkan simbol muafakat ketiga-tiga parti serta boleh menterjemahkan kesejahteraan rakyat selain menarik dan mudah difahami," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, cadangan menggunakan logo BN ketika PRN Sabah dan PRU15 akan datang wajar diketengahkan untuk dinilai dan dilihat secara keseluruhan.

"Cadangan ini tidak boleh ditolak begitu sahaja kerana setiap usul itu ada pro dan kontranya.

"Ia boleh diteliti dan dibincangkan dalam mesyuarat Bersatu, namun semuanya bergantung kepada keputusan tertinggi parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mahu Pas dan Bersatu menggunakan logo BN sebagai lambang rasmi ketika PRN Sabah dan PRU15 akan datang.

Artikel Berkaitan:

Asyraf Wajdi berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan kepimpinan kanan parti yang terlibat bagi menunjukkan kesepakatan dan memastikan pertandingan satu lawan satu bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan calon Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk menggunakan bendera Perikatan Nasional (PN) bagi PRN Sabah nanti, Rais berkata, ia masih belum dimuktamadkan lagi walaupun ia ada dibincangkan dalam jawatankuasa.

"Bagaimanapun, MPT belum ada sebarang keputusan berhubung usul berkenaan," katanya.