Bersatu hati bebas Sabah daripada penindasan ekonomi: Musa

Musa Aman
Musa Aman
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyeru semua pihak bersatu hati dalam memperjuangkan matlamat dan berkongsi wawasan untuk membawa Sabah keluar daripada penindasan ekonomi dan kembali ke landasan yang betul.

Menurutnya, berdasarkan laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia diterbitkan pada Ogos 2020 menyatakan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah dilaporkan berada pada paras paling rendah iaitu 0.5 peratus pada 2019 dan ini membuktikan parti Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal gagal dalam membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat Sabah.

"Kadar pengangguran pula berada pada paras 5.8 peratus (terburuk dalam tempoh 20 tahun), bermakna lebih daripada 117,000 rakyat Sabah tidak mempunyai pekerjaan dan dibelenggu kebimbangan ketika menyambut kedatangan 2020 awal tahun ini.

"Ringkasnya, angka besar itu menunjukkan ramai rakyat Sabah kehilangan pekerjaan, tidak mempunyai pendapatan dan berdepan pelbagai kesukaran bersama keluarga untuk menyara kehidupan dan keadaan itu tidak boleh diterima sama sekali," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Tambahnya, dengan penguncupan KDNK Sabah selama dua tahun berturut-turut (1.5 peratus pada 2018 dan 0.5 peratus pada 2019), sekali gus memberi gambaran trend berbahaya yang menanti.

Katanya, amat memalukan sekali apabila Sabah menjadi negeri yang mempunyai KDNK paling rendah di seluruh Malaysia selama dua tahun berturut-turut, malah ia dilaporkan lebih rendah berbanding dengan negeri termiskin di negara ini.

"Lebih lama Mohd Shafie memegang tampuk kuasa, Sabah akan terus ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi, berikutan aktiviti perniagaan dan pelaburan langsung asing yang semakin berkurangan.

"Justeru, saya dan 32 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili semua parti politik dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, teguh dengan pendirian untuk mengembalikan kebenaran dan keadilan serta sedia memikul tanggungjawab besar ini dalam usaha mengembalikan keadaan ke landasan yang benar dan mengetepikan apa juga kepentingan peribadi yang ada.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga berharap Mahkamah akan membenarkan semakan kehakiman terhadap keputusan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kerana kami berpendapat beliau menerima nasihat yang salah," katanya.

Dalam pada itu, mengulas berhubung penyertaan Parti Cinta Sabah yang diterajui adiknya, Datuk Seri Anifah Aman, Musa berkata, beliau mengalu-alukan parti tersebut.

"Kesemua kami termasuk pelbagai parti yang ada mungkin mempunyai perbezaan pandangan tetapi kami sepakat dalam satu tujuan iaitu menyelamatkan Sabah daripada pentadbiran yang tidak cekap, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Sabah.

"Dalam menguruskan politik dan pentadbiran kerajaan, adalah penting bagi kita membawa masuk tenaga baharu bersama kerana suntikan idea baharu itu mesti diimbangi dengan mereka yang sudah sedia kaya dengan pengalaman serta mempunyai rekod pencapaian membanggakan bagi memastikan pemimpin muda berupaya belajar dan mengaut pengalaman berharga daripada golongan yang lebih awal bertapak," katanya.

Musa berkata, dengan pengalamannya mengemudi empat pilihan raya umum dan menjadi Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun, beliau yakin pentadbirannya berupaya menstabilkan dan memacu ekonomi setempat ke tahap membanggakan.

Sebagai satu pasukan katanya, beliau mahu melonjakkan maruah anak Sabah di mata negara dan persada antarabangsa.

"Matlamat kami ialah untuk menyelamatkan negeri Sabah sebelum kita terjerumus ke kancah gelap yang menjejaskan ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan semua.

Namun pada masa sama, kita mesti memelihara cara hidup rakyat Sabah, menyelamatkan Perlembagaan yang amat dekat di jiwa kita dan mengekalkan keamanan dengan matlamat mengembalikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa supaya kita mempunyai peluang untuk menyelesaikan kemelut ekonomi yang ditinggalkan oleh pentadbiran Warisan," katanya.

"Saya tahu, jauh di sudut hati, anda bukan menyokong perjuangan ini semata-mata kerana saya atau 32 ADUN lain tapi menyokong kerana anda sedar kami tidak boleh membiarkan pentadbiran sedia ada meneruskan apa yang telah mereka lakukan sepanjang 22 bulan yang lalu. Kita perlu membawa Sabah kembali mengecapi kemakmuran dan harga diri yang selayaknya," katanya.