Akta Anti Lompat Parti tidak perlu pinda Perlembagaan Persekutuan

Hassan ketika bercakap pada media di Parlimen hari ini.
Hassan ketika bercakap pada media di Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu menggubal Akta Anti Lompat Parti.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana dalam perlembagaan itu sudah disediakan infrastrukturnya di bawah Fasal (2) (c) Perkara 10 untuk suatu Akta Anti Lompat Parti digubal.

Selain itu katanya, akta itu juga tidak memerlukan kelulusan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebaliknya hanya memerlukan kelulusan majoriti mudah.

"Apa yang menghalang Akta Anti Lompat Parti ini digubal ialah kerana tidak ada keazaman politik di kalangan pemimpin parti politik yang menjadi kerajaan (ketika ini. Kerajaan PH yang sempat berkuasa selama 22 bulan telah gagal menggubal Akta Anti Lompat Parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Perlu pinda Perlembagaan Persekutuan sebelum gubal akta lompat parti

"Kesan daripada kegagalan itu, kerajaan PH telah menjadi mangsa apabila ditumbangkan oleh perbuatan melompat parti dalam kalangan ahli Parlimen PH yang hilang prinsip moral kerana sanggup mengkhianat mandat rakyat," katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kajian secara mendalam perlu dilakukan bagi sekiranya ingin menggubal Akta Anti Lompat Parti.

Ini kerana ia bercanggah dengan Perkara 10(1)(C) Perlembagaan Persekutuan iaitu hak membentuk persatuan dengan syarat ia tidak membabitkan soal keselamatan, ketenteraman awam atau prinsip moral.

Menurut Hassan, kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa tidak berminat untuk menggubal akta.

Artikel Berkaitan:

"Adalah disangsikan kesanggupan kerajaan PN untuk berbuat demikian (gubal Akta Anti Lompat Parti) kerana kerajaan PN itu sendiri ditegakkan atas perbuatan lompat-melompat parti," katanya.