Jamal Yunos puji keberanian Asri Janggut

Jamal menunjukkan laporan polis yang telah dibuat di IPD Ampang Jaya.
Jamal menunjukkan laporan polis yang telah dibuat di IPD Ampang Jaya.
A
A
A

AMPANG - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos memuji tindakan berani Pengasas Hot Burger Malaysia Mohd Asri Hamid, yang mendedahkan kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh.

Jamal berkata, malah rakyat juga memuji serta memberi komen positif terhadap tindakan Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Asri Janggut.

"Keberanian Mohd Asri wajar disanjung kerana pendedahan itu boleh mengundang bahaya kepada diri dan keluarganya," katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Jamal berkata, selain Mohd Asri, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pernah mendedahkan mengenai isu perjudian.

"Mereka pernah membuat laporan dan memberi maklumat kepada pihak polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai aktiviti perjudian.

"Namun, kita tidak pasti laporan itu sudah diambil tindakan atau sebaliknya," katanya.

Beliau turut memuji tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam menangani isu yang dibangkitkan oleh Mohd Asri.

"Premis judi haram di negara ini seharusnya dihapuskan dan tangkap tauke yang menjalankan aktiviti perjudian itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan Jamal memaklumkan laporan polis itu adalah untuk menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara mengkaji serta meneliti semula kes beliau berhubung pendedahan premis judi pada 2016 lalu.

"Saya bersama beberapa rakan lain telah dituduh di mahkamah akibat pendedahan sindiket perjudian itu.

"Saya percaya kes ini wajar dikaji dan diteliti semula untuk pertimbangan pihak PDRM dan Jabatan Peguam Negara," katanya.

Jamal berkata, pihaknya mendapati selepas pendedahan itu, premis perjudian tidak beroperasi lagi di Ampang Jaya.

"Tahniah kepada pegawai dan anggota polis atas usaha membanteras aktiviti perjudian, saya mahu memaklumkan bahawa Ampang kini bebas daripada aktiviti mesin perjudian," katanya.