X

Kindly register in order to view this article
!

Bayaran balik PTPK tangguh tiga bulan lagi

M Saravanan. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju melanjutkan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan lagi mulai 1 Oktober sehingga 31 Disember depan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, jumlah yang terlibat ekoran penangguhan bayaran pinjaman untuk tempoh tiga bulan itu dianggarkan RM70 juta dan bakal memberi manfaat kepada 178,906 peminjam.

"Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPK ini adalah secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, penangguhan untuk tiga bulan lagi itu juga adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Julai lepas mengenai lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar untuk melindungi dan mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi cabaran pandemik koronavirus (Covid-19).

Saravanan berkata, anggaran penangguhan bayaran balik pinjaman PTPK secara keseluruhan berjumlah RM220 juta sehingga 31 Disember ini melibatkan 178,906 peminjam.

Pada 27 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPK untuk tempoh enam bulan mulai 1 April hingga 30 September berjumlah RM149.2 juta melibatkan 174,500 peminjam di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!