X

Kindly register in order to view this article
!

Ikan Terengganu mahal kerana hasil didaratkan di luar negeri

Dr Azman Ibrahim
A
A

KUALA TERENGGANU – Bot laut dalam Terengganu mendaratkan hasil tangkapan mereka di pelabuhan perikanan Tok Bali, Kelantan dan Kuantan, Pahang dilaporkan antara faktor harga ikan negeri ini lebih mahal berbanding tempat lain.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, lokasi pendaratan luar negeri itu menyebabkan penambahan kos kerana ikan perlu dibawa pulang ke Terengganu menggunakan lori.

Menurutnya, Terengganu mempunyai 80 bot laut dalam yang menjadi penyumbang utama sumber perikanan dan situasi pendaratan hasil tangkapan di luar negeri berlaku disebabkan beberapa isu termasuk muara cetek dan pelabuhan yang belum selesai.

“Bandingan dibuat kerana secara relatifnya Terengganu sebagai negeri pesisir pantai yang ada pantai sejauh 245 kilometer (km) dari Kemaman ke Besut sepatutnya harga ikan lebih murah, inilah gambaran orang.

“Untuk selesaikan kita kena bawa balik semua bot kembali mendaratkan hasil tangkapan di Terengganu. Isunya sebab mendapan dan kedalaman muara, beberapa usaha sedang dibuat bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) tentang punca harga ikan negeri ini yang dikatakan lebih mahal berbanding tempat lain pada pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 hari ini.

Terdahulu, menjawab soalan Roslee tentang program dilaksanakan kerajaan bagi menangani isu kemiskinan nelayan pantai, Dr Azman memaklumkan sebanyak 51 tukun konkrit telah dilabuhkan di seluruh perairan Terengganu dari tahun 2018 hingga 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Beliau berkata, sebanyak 245 unit unjam turut dilabuhkan dengan kos sebanyak RM190,000 dan Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang turut sama menyumbang dana bersama kerajaan Persekutuan dalam program unjam dan tukun.

Katanya, kerajaan negeri bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga akan melaksanakan Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) selewat-lewatnya akhir tahun ini melibatkan tiga tapak iaitu di Benting Lintang, Besut, Seberang Penarik, Setiu dan Pulau Skepeng, Kemaman.

“Selain itu, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Isu Lesen Nelayan Sampan bagi menyelesaikan isu 800 buah sampan milik nelayan pantai Terengganu belum memiliki lesen dan ia sudah mendapat perhatian kerajaan Pusat,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!