Tiada arahan tarik balik beku akaun ahli perniagaan dikait 1MDB

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull. -Foto ZAHID IZZANI
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull. -Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang arahan pembekuan akaun milik seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan kes syarikat 1MDB ditarik balik oleh mana-mana pemimpin kerajaan, dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebaliknya, bekas Ketua Suruhanjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menegaskan tiada keperluan untuk beliau mematuhi arahan termasuk menteri atau perdana menteri dalam siasatannya.

Menurutnya, beliau tidak pernah mengeluarkan arahan kepada pegawai-pegawainya supaya melepaskan pembekuan akaun berkaitan.

"Andainya betul, akaun berkenaan dibatalkan pembekuannya, ia bukan arahan saya.

"Dalam siasatan, saya hanya akur dengan arahan timbalan pendakwa raya sahaja dan bukan arahan dari pihak berkaitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang mendedahkan terdapat bukti surat mendedahkan berlakunya campur tangan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kes berkenaan.

Takiyuddin berkata, pada 5 Disember 2018, terdapat beberapa minit mesyuarat menyatakan Dr Mahathir menulis surat meminta pembekuan akaun ahli perniagaan berkenaan dilepaskan dengan Guan Eng turut mengemukakan permintaan sama.

Susulan itu, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas difahamkan menulis surat kepada Guan Eng pada 31 Mei tahun lalu bagi menyatakan arahan pembekuan itu sudah dibatalkan.

Artikel Berkaitan: