28 murid cedera sekolah dilanda ribut

Keadaan bumbung yang diterbangkan angin sejauh kira-kira 50 meter.
Keadaan bumbung yang diterbangkan angin sejauh kira-kira 50 meter.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Seramai 28 murid Tahun Dua dan Lima Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim, di sini dihantar ke Hospital Melaka selepas mengalami kecederaan akibat dihempap siling sekolah yang runtuh dalam kejadian ribut di kawasan itu pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Abu Obaidat Mohamad berkata, insiden berkenaan pertama kali berlaku di sekolah berusia 82 tahun itu.

Menurutnya, ribut kira-kira 10 minit pada jam 10.17 pagi itu turut menyebabkan siling dan bumbung di empat bilik darjah di tingkat tiga Blok C diterbangkan angin sejauh kira-kira 50 meter dan serpihannya menyebabkan kerosakan bumbung di Blok B.

"Walaupun membabitkan tingkat atas bangunan namun bahagian bawah di tingkat dua turut terjejas.

"Kita meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pemotongan bekalan elektrik untuk keselamatan," katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.

Keadaan kelas akibat ribut pagi tadi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim.
Keadaan kelas akibat ribut pagi tadi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim.

Timbalan Menteri Pendidikan Dr. Mah Hang Soon dan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali turut melawat kawasan sekolah itu.

Mengulas lanjut, Abu Obaidat berkata, pihaknya menerima 36 panggilan kecemasan membabitkan kejadian ribut yang melanda sekitar kawasan Melaka Tengah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, panggilan melibatkan kerosakan rumah, premis serta pokok tumbang selepas dipukul ribut dan daripada jumlah itu hanya lapan kes yang melibatkan mangsa namun kesemua mereka hanya mengalami kecederaan ringan.

"Pemantauan terus dilakukan di beberapa kawasan yang terjejas termasuk Cheng, Taman Merdeka dan Malim," katanya.

Datuk Dr Mah Hang Soon turun padang melawat keadaan SJKC Malim yang dilanda ribut, hari ini.
Datuk Dr Mah Hang Soon turun padang melawat keadaan SJKC Malim yang dilanda ribut, hari ini.