PRK DUN Slim: SPR hantar 23,094 kad pengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam sudah pun mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRK DUN Slim bermula dengan penamaan calon pada 15 Ogos diikuti pengundian awal pada 25 Ogos dan seterusnya pengundian sebenar pada 29 Ogos 2020.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam sudah pun mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRK DUN Slim bermula dengan penamaan calon pada 15 Ogos diikuti pengundian awal pada 25 Ogos dan seterusnya pengundian sebenar pada 29 Ogos 2020.
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menghantar kad pengundi kepada 23,094 pengundi bermula semalam menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, inisiatif itu sebagai usaha untuk menggalak dan memudahkan pengundi keluar mengundi pada PRK DUN Slim yang ditetapkan pada 25 Ogos bagi pengundian awal manakala 29 Ogos sebagai hari mengundi.

Beliau berkata, pada PRK Slim kali ini, SPR meletakkan maklumat 'Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan' bagi setiap pengundi pada kad pengundi berkenaan.

"Cadangan masa ini bertujuan untuk mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

"Ini adalah selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ikmalrudin berkata, pengundi yang telah menerima kad berkenaan tidak lagi perlu menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih di barung SPR kerana kedua-dua maklumat berkaitan ada dinyatakan dalam kad pengundi itu.

Bagaimanapun katanya, pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

"Pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu SPR (jarak) SEMAK (jarak) NOMBOR KAD PENGENALAN hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: