Setuju guna satu logo

Mohd Rafiq (tengah) bersama ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Tangga Batu selepas sidang media di Ayer Keroh malam tadi.
Mohd Rafiq (tengah) bersama ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Tangga Batu selepas sidang media di Ayer Keroh malam tadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohiden menyambut baik cadangan Pemuda UMNO untuk menggunakan satu logo yang mewakili blok Muafakat Nasional (MN).

Beliau bersetuju dengan cadangan tersebut, namun ia perlu diperhalusi untuk menentukan logo siapa yang sewajarnya digunakan dengan mengambil kira kepopularan logo tersebut hingga ke peringkat akar umbi rakyat.

"Kajian menyeluruh secara pantas berkenaan logo perlu dilaksanakan segera supaya pengundi tidak terkeliru dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mampu menjadi pencetus kepada kemenangan Muafakat Nasional seterusnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.

Menurutnya, semua pihak bebas memberikan cadangan dan pendapat serta perlu lebih terbuka dalam perbincangan ini dengan mengambil kira suara rakyat mengenai 'jenama' logo parti sama ada Barisan Nasional (BN), Pas mahupun Bersatu.

"Kalau ditanya pandangan saya seeloknya kita perlu bergabung dan kalau saya tentulah nak menggunakan Bersatu, begitu juga kalau ditanya pada Pas mereka juga mahu guna logo parti mereka.

"Kerana itu perlu diadakan kajian pantas dan secara bebas supaya dapat menentukan logo mana yang paling berkesan untuk kita gunakan mewakili blok Perikatan Nasional (PN).

"Ini penting supaya penyokong kita tak keliru, di blok kita hanya ada satu logo dan kita lawan Warisan serta parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) di sebelah sana," katanya

Mohd Rafiq yang juga Timbalan Badan Kepimpinan Bersatu negeri berkata, Bersatu pernah menggunakan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU lalu ketika parti itu dinyahdaftarkan sehari sebelum pembubaran Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam soal ini adakalanya tidak boleh hanya memikirkan kehendak parti sedangkan rakyat yang menentukan kemenangan tersebut.

"Dulu pun masa kita di PH, kita cuba pakai logo PKR dan boleh berjaya memenangi PRU14.

"Jadi saya lihat tak semestinya PN kena guna logo PN, tapi kalau kajian dilakukan jenama PN ini diterima baik seluruh rakyat maka semua parti kena terima keputusan dan kajian suara rakyat," katanya.

Semalam, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan logo BN digunakan sebagai lambang rasmi sewaktu PRU15 akan datang.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu turut dipanjangkan kepada parti yang bukan komponen BN secara rasmi iaitu Pas dan Bersatu.