Inter Milan lepasi halangan Bayer Leverkusen

Lukaku memastikan Inter Milan mara ke peringkat seterusnya saingan Liga Europa.
Lukaku memastikan Inter Milan mara ke peringkat seterusnya saingan Liga Europa.
A
A
A

Pengurus Inter Milan, Antonio Conte memuji karakter dipamerkan pemain Nerazzurri ketika menang tipis ke atas kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen 2-1 pada suku akhir Liga Europa di Esprit Arena, Düsseldorf awal pagi tadi.

Dua jaringan Nicolo Barella dan Romelu Lukaku dalam 20 minit pertama sudah cukup menenggelamkan lawan yang beraksi di laman sendiri yang tampil dengan gol saguhati jaringan Kai Havertz.

Menurut Conte, dia tidak pernah meragui keupayaan pemain gergasi Serie A itu untuk melakukan kejutan walaupun terpaksa beraksi pada peringkat kalah mati ini di bumi Jerman.

"Sudah tentu tidak pernah ada rasa kurang percaya diri dalam kalangan pemain Inter Milan, kerana kami telah bekerja keras dan hasilnya dapat dilihat pada saingan Serie A dan terkini peringkat kalah mati Liga Europa.

"Pada saya pemain Inter Milan perlu diberikan pujian berdasarkan keputusan hari ini apatah lagi ini perlawanan penting. Kedua-dua kelab tidak mempamerkan penguasaan bola sebaliknya kami lebih kepada corak menekan lawan bagi menyekat mereka daripada menguasai perlawanan sekali gus membataskan pemain Bayer Leverkusen melakukan pergerakan," katanya di Dusseldorf, Jerman.

Bagaimanapun, pengendali berusia 51 tahun itu memberitahu dia mengakui tetap bimbang mengenai keberkesanan bahagian serangan kelab itu.

"Ya, kami boleh mengeluh kerana tidak mencetak lebih banyak gol, kami tidak pula menderita sebenarnya tambahan pula apabila mendahului 2-1.

"Namun sepatutnya ketika mendahului Bayer Leverkusen, pemain mempunyai banyak peluang menjaringkan gol sebab itulah masa terbaik mematikan permainan segera lawan. Apapun keseluruhannya saya tetap gembira," katanya.

Artikel Berkaitan:

Conte pada masa sama berkata, Inter sememangnya layak memenangi perlawanan itu sekali gus meraih slot separuh akhir sementara menunggu pemenang aksi suku akhir Shakhtar Donetsk-FC Basel.

"Saya mengatakan bahawa kami berhak memenangi permainan ini dari setiap sudut. Kami banyak mencipta situasi yang menyukarkan Bayer Leverkusen seterusnya menyebabkan lawan melakukan beberapa kesilapan yang buruk.

“Untuk separuh akhir, kita harus melihat siapa yang akan kita jumpa kerana Shakthar Donetsk adalah kelab yang sangat sempurna dengan pemain hebat, banyak kelibat pemain dari Brazil yang cukup berpengalaman manakala Basel pula telah mencapai keputusan yang luar biasa pada tahap ini.

"Kami akan menonton permainan di antara mereka dan kemudian kami mempunyai enam hari untuk bersiap ke separuh akhir. Sekarang kita sudah layak untuk mara ke separuh akhir. Sekarang cita-citanya mesti melihat yang maksimum tetapi kita mesti layak ke final dan pandai memulihkan tenaga dan berusaha," katanya.