X

Kindly register in order to view this article
!

Bersatu Klang tidak bubar: Muhammad Faiz

MUHAMMAD FAIZ
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Klang menafikan dakwaan bahagian itu terbubar berikutan tindakan ketua bahagian bersama 23 ahli jawatankuasa meletak jawatan dan keluar parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, tiada pihak boleh mengisytiharkan pembubaran mana-mana bahagian atau cawangan dalam Bersatu yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kecuali atas arahan MPT.

"Saya mewakili pihak kepimpinan Pusat, ahli akar umbi dan calon yang bertanding dalam pemilihan Bersatu khususnya di Bahagian Klang, menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan bekas calon Ketua Bahagian Bersatu Klang, Datuk Syed Abdillah Syed Abdul Aziz kononnya Bersatu Bahagian Klang telah dibubarkan.

"Apatah lagi jika yang melaungkan pembubaran tersebut masih lagi berstatus calon dalam pemilihan dan tiada watikah sebarang pelantikan rasmi untuk sesi baharu.

"Bersatu Bahagian Klang masih wujud dan kini bebas daripada anasir-anasir penghasut, pentaksub dan pemfitnah, alhamdulillah," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga calon Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Klang berkata, MPT merupakan badan tertinggi pembuat dasar parti yang bertanggungjawab menentukan hala tuju parti sepanjang tahun kerana Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hanya bersidang pada waktu-waktu tertentu sahaja.

"Keputusan mahkamah pada Jumaat lalu adalah bukti nyata bahawa segala keputusan yang diambil MPT parti secara musyawarah selama ini adalah menepati perlembagaan parti serta perundangan negara.

"Tiada seorang pun ahli atau pemimpin dalam parti ini berada lebih atas dari apa yang termaktub dalam perlembagaan parti serta undang-undang negara," katanya.

Sabtu lalu, Syed Abdillah bersama 23 ahli jawatankuasa bahagian itu mengumumkan peletakan jawatan serta membubarkan bahagian itu.

Katanya, beliau akan memohon untuk menyertai parti baharu yang ditubuhkan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu Selangor nafi ada bahagian terbubar


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!