Kerajaan belum muktamadkan sambutan Maal Hijrah

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

NILAI - Kerajaan kini dalam peringkat akhir perbincangan bagi memutuskan sama ada mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 1442H/2020M atau sebaliknya berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang masih berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sambutan Maal Hijrah yang jatuh pada 20 Ogos ini merupakan acara kebesaran umat Islam dan amat penting dalam menyebarkan syiar Islam meskipun ia diadakan dalam skala yang kecil.

“Insya-ALLAH kita akan muktamadkan dan kita akan isytiharkan. Kita akan cuba melihat sambutan Maal Hijrah yang mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini yang turut dihadiri Naib Canselor USIM Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Menurut Zulkifli, jika diadakan sambutan Maal HIjrah tahun ini, jumlah peserta dan masa sambutan akan dihadkan.

Mengenai seminar berkenaan, Zulkifli berkata, ia diadakan bertujuan mengumpul maklumat dan kajian bagi memperkasa, menambah baik serta mentransformasi pengurusan hal ehwal Islam dalam menghadapi cabaran dan keperluan semasa ummah. - Bernama

Artikel Berkaitan: