X

Kindly register in order to view this article
!

'Tiada halangan gubal Akta Antilompat Parti'

Hassan Karim
A
A

JOHOR BAHRU - Perkara 10(1)(c) dalam Perlembagaan Persekutuan bukan sesuatu yang muktamad hingga boleh menghalang Parlimen Malaysia menggubal Akta Antilompat Parti.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, Perkara 10(1)(c) boleh ditafsirkan lagi dan akta itu boleh digubal demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam dan prinsip moral.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, penggubalan akta berkenaan adalah jalan terbaik mengekang masalah tersebut sekali gus dapat menjadikan politik Malaysia kembali stabil, bersih, berintegriti dan bermaruah.

"Jika isu keperlembagaan atau constitutionality ditimbulkan sebagai alasan untuk menghalang penggubalan Akta Antilompat Parti maka dinasihati supaya Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan dibaca sama dengan Fasal 2 (c).

"Kita lihat sebelum ini sebuah kerajaan Persekutuan yang sah diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 tiba-tiba tumbang angkara lompat parti tentu sahaja menjejaskan kepentingan keselamatan negara.

"Ketenteraman awam juga terjejas sama. Isu prinsip moral dalam demokrasi berparlimen juga timbul apabila ahli-ahli Parlimen yang melompat itu mengkhianati pengundi yang memilih mereka dalam pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan dalam Dewan Rakyat semalam berkata, Perkara 10(1)(c) itu iaitu kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan perlu dipinda jika undang-undang berkaitan lompat parti mahu digubal.

Takiyuddin berkata, Perkara 10(1)(c) jelas menyatakan kebebasan individu untuk berpersatuan dan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 10(1)(C) itu tidak benarkan semua warganegara untuk membentuk persatuan, baru boleh digubal akta orang lompat parti.

Hassan berkata, Akta Antilompat Parti tidak memerlukan kelulusan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat namun hanya memerlukan kelulusan majoriti mudah dan bukannya kelulusan majoriti dua pertiga.

Katanya, Perlembagaan juga tidak perlu dipinda terlebih dahulu untuk menggubal akta itu kerana dalam Perlembagaan sudah disediakan infrastrukturnya di bawah Fasal (2)(c) Perkara 10 untuk akta berkenaan digubal.

"Halangan sebenarnya penggubalan Akta Antilompat Parti ialah kerana tidak ada keazaman politik di kalangan pemimpin parti politik yang menjadi kerajaan. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sempat berkuasa selama 22 bulan telah gagal menggubal Akta Antilompat Parti.

"Kesan daripada kegagalan itu kerajaan PH menjadi mangsa apabila ditumbangkan oleh perbuatan melompat parti di kalangan ahli Parlimen PH yang hilang prinsip moral kerana sanggup mengkhianat mandat rakyat," katanya.

Beliau sangsi kerajaan sedia ada yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai keazaman politik untuk menggubal akta tersebut kerana kerajaan Perikatan Nasional itu sendiri ditegakkan atas perbuatan lompat melompat parti.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!